Tommy dedah kegagalan usaha untuk tangkap Jho Low yang dikaitkan dengan skandal 1MDB

 Tommy dedah kegagalan usaha untuk tangkap Jho Low yang dikaitkan dengan skandal 1MDB


Bekas peguam negara (AG) Tommy Thomas, dalam buku memoir terbarunya, menyatakan bahawa dia pernah mencadangkan ganjaran diberi kepada pihak yang menangkap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

Thomas mengatakan dia tidak yakin Jho Low mudah ditangkap kerana menurutnya, untuk melepaskan diri, ahli perniagaan itu akan merasuah menggunakan sejumlah besar dana 1MDB yang didakwa dicurinya.

Oleh yang demikian, Thomas mengatakan dia mengusulkan agar diberikan sejumlah ganjaran kepada penangkapan Jho Low, tetapi kerajaan dan polis tidak menyambut baik cadangan itu.

“Saya mengesyorkan agar Malaysia menawarkan ganjaran untuk penangkapannya dan bawa dia untuk diadili.

“Lagipun, begitulah esse James ditangkap pada abad ke-19.

“Pihak berkuasa kolonial Inggeris juga menawarkan ganjaran pada pertengahan 1950-an untuk penangkapan Chin Peng, pemimpin Parti Komunis Malaya,” katanya dalam memoirnya bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Thomas mengatakan undang-undang tidak melarang pembayaran wang kepada pemberi maklumat atau pemecah rahsia yang memberikan maklumat yang membawa kepada penangkapan seorang penjenayah yang berdepan tuduhan.

“Saya mengemukakan cadangan saya kepada perdana menteri, menteri kewangan dan ketua polis negara, tapi sayangnya ia tidak mendapat sambutan yang baik,” katanya.

Pada 2019, Mohamad Fuzi Harun, yang merupakan ketua polis negara ketika itu kemudian secara terbuka mengemukakan idea berkenaan, namun ia tidak pernah dilaksanakan.

Penggantinya Abdul Hamid Bador menyorot bahawa pihak berkuasa asing tidak bekerjasama dalam usaha memburu Jho Low.

Abdul Hamid yang ketika itu mengatakan antara alasan yang diberikan adalah Jho Low menjalani pembedahan plastik dan kini “menyerupai beruang”.

Kes jenayah terhadap individu berkaitan Jho Low di AS menunjukkan bahawa dia mengekalkan pengaruh yang luas, walaupun menjadi buruan.

Jho Low sebelum ini didakwa membayar pelobi AS untuk membantu meyakinkan Jabatan Kehakiman AS menggugurkan kes 1MDB terhadapnya.

Pengadilan mahkamah AS juga mendedahkan kaitan Jho Low dengan kerajaan komunis di China.

Jho Low dilaporkan melobi bagi pihak menteri dari China untuk pengusiran pembangkang China, Guo Wengui dari AS.

Beijing menafikan melindungi Jho Low.

Jho Low didakwa secara absentia (tanpa kehadiran) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana pengubahan wang haram yang melibatkan AS$1.03 bilion (RM4.16 bilion) pada Disember 2018.

Tuduhan serupa juga telah diajukan terhadapnya di AS pada November 2018.

Jho Low, yang masih bebas, menyifatkan tuduhan itu sebagai “bermotif politik”.

Jho Low adalah watak utama dalam skandal 1MDB dan didakwa menggunakan rangkaian globalnya bagi mendalangi penyelewengan dana milik kerajaan di bawah perdana menteri ketika itu, Najib Abdul Razak.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun masih bebas, sementara menunggu rayuannya terhadap sabitan kes SRC International.