Dua tiga hari yang lalu telah muncul tiga dapatan daripada kajian berbeza yang secara jelas memberi gambaran bahawa PN bukan lagi sebuah kerajaan yang diyakini, semakin terhakis sokongan rakyat dan tidak membawa negara menuju kemajuan.
Emir Research yang mana penerajunya, Dr. Rais Hussin yang merupakan bekas pemimpin Bersatu, dalam kajian terbarunya mendapati, majoriti rakyat negara ini hidup dalam keadaan tidak yakin dengan daya maju ekonomi negara dan kemampuan kerajaan memimpin negara ke arah yang betul.
Dalam kajian yang dilakukan pada Disember 2020 terhadap 1,976 responden, lebih daripada 60 peratus menyatakan mereka tidak pasti dan tidak setuju Malaysia berada di landasan yang betul dalam kemampanan hala tuju ekonomi serta kemampuan PN mentadbir negara ini.
Melalui tinjauan bebas oleh portal berita The Malaysian Insight pula, didapati majoriti rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan PN sekarang.
Dalam 5000 yang menyertai undian, 93.9 peratus responden berkata, mereka tidak berpuas hati dengan PN atas pelbagai hujah, termasuk jatuhnya Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Dunia, barisan Kabinet yang terlampau ramai, keputusan mengadakan perintah darurat dan karenah dwistandard dalam penguatkuasaan SOP Covid19.
Sementara itu, Fitch Solutions yang merupakan cabang firma penyelidikan Fitch Group, menjangkakan prospek ekonomi Malaysia akan terus bertambah buruk pada tahun ini.
Firma itu menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini akan menurun dari 11.5 peratus kepada 10 peratus dengan menyebut mengenai “penggunaan swasta yang disenyapkan”.
“Pekerjaan dan gaji cenderung sekali lagi berada di bawah tekanan yang kuat, kali ini dengan ruang lingkup sokongan fiskal yang lebih rendah, memandangkan kewangan kerajaan sudah tegang dan hampir dengan had hutang yang meningkat sebanyak 60 peratus dari KDNK,” kata firma penyelidikan itu lagi.
Laporan itu menambah, penurunan pertumbuhan KDNK akan memberi kesan negatif terhadap jumlah dana yang ada yang diperlukan untuk memperkuat sistem penjagaan kesihatan Malaysia.
Berdasarkan tiga dapatan daripada kajian berbeza ini, kesimpulan yang paling mudah difahami ialah PN dan Muhyiddin Yassin terbukti tiada kemampuan untuk terus menerajui negara ini.
Ketidakyakinan rakyat bukan saja bermula dengan pengkhianatan dalam pembentukan PN, malah dalam banyak kegagalan lain, khususnya menangani Covid19.
Bersekali dengan itu, di samping perlaksanaan darurat dan menggantung Parlimen yang dicadangkan Muhyiddin dilihat semata-mata untuk mengelakkan dirinya dijatuhkan, kesan paling ketara dihadapi rakyat akibat daripada pendekatan ala diktator itu ialah kesan ekonomi kepada kehidupan mereka.
Kedegilan untuk berundur dan menampakkan sikap kemaruk kuasa walau sudah menjadi minoriti secara langsung dan tidak langsung telah menyebabkan pelabur dalam dan luar semakin menjauhkan diri
Ketidakmampuan PN dengan jumlah kabinet yang besar, selain kelemahan Muhyiddin dalam mengurus dan melahirkan idea-idea bernas serta luar biasa untuk menangani isu ekonomi, akhirnya rakyatlah yang menjadi mangsanya.
Kenapa rakyat tidak yakin dengan daya maju ekonomi dan kemampuan kerajaan mengurus negara?
Kenapa 93.9 peratus respondon dalam satu kajian tidak berpuas hati dengan PN sebagai kerajaan?
Kenapa sebuah badan penyelidikan berwibawa seperti Fitch Solutions menjangkakan prospek ekonomi akan bertambah buruk lagi?
Semua persoalan diatas tidak lain berpunca hanya daripada satu sebab saja iaitu Muhyiddin.
Muhyiddin seoanjang 11 bulan lepas terbukti telah gagal teruk sebagai Perdana Menteri di mana hanya dalam tempoh yang singkat saja telah menyebabkan kepimpinannya semakin ditolak, tidak diyakini dan tidak diterima lagi oleh rakyat.
Untuk itu, tanpa kompromi, menolak atau membuang Muhyiddin saja satu-satunya jawapan jika ingin lahirnya sebuah kerajaan yang kembali diterima dan diyakini rakyat jelata.
Kecualilah jika rakyat Malaysia ini memang suka hidup sengsara, tiada pekerjaan, tiada perniagaan dan tiada wang dalam poket untuk meneruskan kehidupan, teruskanlah menyokong, memuji dan mengampu Muhyiddin sehingga ke hujung nyawanya.
(Shahbudindotcom 02/02/2021)