PKR tempelak portal pro Azmin
MEDIA HARUS LEBIH CERMAT
Saya ingin membawa perhatian orang ramai kepada berita palsu yang dilaporkan oleh beberapa media yang melibatkan timbalan pengerusi KEADILAN Perak M A Tinagaran.
Sebelum ini semua pihak disarankan agar tidak membuat andaian, namun sikap tidak bertanggungjawab wartawan bernama Fazreen Kamal di portal Malaysia Now telah memberikan gambaran negatif dengan memutar belitkan fakta secara prejudis.
Tiada aset atau wang tunai berjumlah berjuta ringgit yang telah dirampas milik Tinagaran. Sebaliknya wang sejumlah RM17 ribu dalam denominasi kecil telah diambil untuk siasatan. Kereta yang disita bukanlah miliknya tetapi oleh seorang kenalan yang menumpang tempat.
Lebih mendukacitakan adalah apabila beberapa portal lain juga sekadar memetik sumber untuk mensasikan laporan tanpa membuat usul periksa secara lanjut.
Saya ingin mengingatkan bahawa penyebaran berita palsu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Diharap kerajaan tidak bersikap berat sebelah di dalam pemantauan berkenaan isu ini.
Media harus lebih cermat kerana siasatan masih dijalankan dan semoga proses perundangan berjalan secara lancar tanpa prejudis.
Farhash Wafa Salvador Bin Rizal Mubarak
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perak