KEADILAN failkan saman RM10 juta terhadap Zuraida

 

KEADILAN membuat keputusan untuk mengemukakan tuntutan saman berjumlah RM10 juta di mahkamah terhadap bekas naib presiden parti, Zuraida Kamaruddin.

 

Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung berkata saman itu dikemukakan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Setiausaha Agung KEADILAN berdasarkan bon yang ditandatangani oleh Zuraida pada 25 April 2018.

 

"Di bawah syarat-syarat bon tersebut, Zuraida sedar bahawa parti telah menanggung perbelanjaan besar untuk mempromosikan nama "PARTI KEADILAN RAKYAT" dan penggunaan logo dan lambang parti.

 

"Zuraida juga sedar bahawa parti membenarkan beliau untuk menggunakan logo dan lambang parti dan telah memberikan nilai besar kepadanya yang melebihi Ringgit Malaysia Sepuluh Juta (RM10,000,000.00).

 

"Zuraida juga bersetuju akan membayar sejumlah RM10 juta kepada parti sekiranya dia mengundurkan diri dari parti atau menyertai parti politik lain atau menjadi bebas," katanya dalam kenyataan.

 

Chean Chung berkata, tuntutan itu kini boleh dikemukakan setelah Zuraida bertindak keluar dari KEADILAN.

 

"Pada atau kira-kira 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan dengan 10 Ahli Parlimen lain mengumumkan pengundurannya dari parti tanpa meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang.

 

"Pada 24 Februari 2020, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) meluluskan resolusi untuk menghentikan keahlian Zuraida dengan segera.

 

"KEADILAN menerusi peguam telah mengeluarkan surat tuntutan bertarikh 7 Ogos 2020 yang menghendaki Zuraida membayar sejumlah RM10,000,000.00 sesuai dengan syarat-syarat bon tersebut," katanya.

 

Chean Chung bagaimanapun mendedahkan Zuraida telah mengabaikan tuntutan tersebut, menyebabkan KEADILAN bertindak mengemukakan tuntutan tersebut di mahkamah terhadap Zuraida pada 28 Sept 2020.

 

"Peguamcara parti telah berusaha untuk menyampaikan surat-surat kepada Zuraida pada 30 September 2020 dan 1 Oktober 2020 tetapi tidak dapat melakukannya.

 

"Peguamcara parti juga telah menulis surat pada 1 Oktober 2020 kepada Zuraida supaya melantik firma peguam cara untuk menyelesaikan tuntutan saman itu bagi pihaknya," katanya.

 

Pada masa sama, Chean Chung berkata KEADILAN akan turut mengemukakan tuntutan saman terhadap semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah keluar parti dalam masa terdekat.

 

"Selain Zuraida, parti juga akan menuntut pembayaran bon dari 20 Ahli Parlimen dan ADUN yang menang atas tiket parti tetapi telah mengundurkan diri untuk bergabung dengan parti politik lain," katanya.