‘Feel good factor’ Sukan SEA, PRU 14 bulan Oktober?
PM Najib Razak mungkin telah menemui feel good factor untuk memanggil pilihan raya umum (PRU) ke 14 selepas kejayaan skuad Malaysia menjuarai secara keseluruhan Sukan SEA dengan pungutan 145 pingat emas, terbaik dalam sejarah negara.
Pengarah Strategik Parti Amanah Negara Dr Dzulkefly Ahmad berpendapat sedemikan dan menurutnya tarikh paling hampir PRU boleh dilaksanakan ialah pada bulan Oktober ini.
“Dengan kemenangan yang amat cemerlang dalam Sukan SEA yang baru lalu, saya berpendapat PM Najib akan membubar Parlimen dalam bulan September untuk pilihan raya umum diadakan pada bulan Oktober nanti.
“Oleh itu, Pakatan Harapan (PH) perlu cepat menyelesaikan kemusykilan yang melibatkan kerjasama dengan Pas sebelum Parlimen dibubarkan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau turut menegaskan, PM Najib akan menggunakan faktor kemenangan Sukan SEA untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa negara telah mencapai kemajuan yang besar selepas 60 tahun merdeka, terutama di bawah pentadbiran beliau sejak 2009.
Selain daripada itu, katanya, perjumpaan PM Najib dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang akan berlangsung pada pertengahan September juga boleh dijadikan faktor sampingan untuk meraih undi. Perjumpaan dengan Trump boleh memberi gambaran bahawa negara kuasa besar itu menghormati persahabatan dan kerjasama dengan Malaysia.
“Kita mesti mengambil kesempatan penuh untuk bersiap-sedia dalam bulan September kerana mungkin Parlimen akan dibubarkan selepas PM Najib pulang ke tanahair setelah pertemuan dengan Trump pada 12 September,” kata Dr Dzul lagi yang menegaskan PH perlu menggiatkan usaha merancang serta berjumpa dengan semua lapisan masyarakat kerana masa berbaki sudah terlalu suntuk.