1MDB bayar hutang guna wang pembayar cukai? – Tony Pua
Adakah wang daripada pembayar cukai digunakan untuk melunaskan tunggakan ditanggung 1MDB kepada syarikat asing International Petroleum Investment Company (IPIC)?
Itu pertanyaan dibangkitkan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua semalam.
Kata Pua, selepas berkali-kali ditanya pelbagai pihak, 1MDB dan Kementerian Kewangan (MOF) masih menutup mulut mengenai maklumat dari mana wang berkenaan diperolehi.
“Mengapa mereka bersungguh-sungguh enggan mendedahkan sumber dana 1MDB?
“Adakah mereka menolak daripada menjawab soalan itu kerana MOF telah memperluaskan dana berkenaan secara langsung atau tidak langsung melalui beberapa kononnya skim rasionalisasi 1MDB untuk membantu hutangnya diselesaikan?
“Sehingga MOF memberikan penerangan jelas, rakyat Malaysia tidak boleh dipersalahkan jika mereka menyangka 1MDB menyelesaikan pembayaran hutang itu menggunakan duit pembayar cukai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam dalam pengumumannya kepada Bursa Saham London IPIC mengesahkan mereka menerima bayaran daripada 1MDB sehari sebelum tarikh akhir yang diberikan luput.
Bagaimanapun jumlah wang yang diterima itu tidak didedahkan.
1MDB sebelum ini berkata mereka membayar hutang tersebut hasil daripada dana yang diperoleh melalui proses rasionalisasi berterusan – kenyataan yang didakwa Pua sebagai tidak meyakinkan.
“Tidak ada langsung sebarang butiran mengenai apa hasil daripada program rasionalisasi itu, khusus yang dilaksanakan 1MDB.
“Awalnya pada April tahun ini, 1MDB berkata dana itu akan datang daripada unit dana pelaburan milik 1MDB.
“Bagaimanapun, sejak Jabatan Kehakiman AS melabelkan unit dana sebagai penipuan, 1MDB mengelak daripada menggunakan istilah itu dalam kenyataan mereka kemudiannya,” kata Pua.