Lapan Juta Turun Protes Trump Di Seluruh AS






 

Sekurang-kurangnya lapan juta orang berkumpul di lebih 3,300 acara protes di kesemua 50 negeri, termasuk bandar-bandar besar dan pekan-pekan kecil membantah Trump pada 28 Mac 2026.

NEW YORK, 29 Mac – Jutaan penunjuk perasaan berhimpun di seluruh Amerika Syarikat (AS) semalam bagi menentang tindakan Presiden Donald Trump, dengan melepaskan kemarahan terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai gaya pemerintahan autoritarian, dasar imigresen yang keras dan perang dengan Iran.

Penganjur berkata, sekurang-kurangnya lapan juta orang berkumpul di lebih 3,300 acara protes di kesemua 50 negeri, termasuk bandar-bandar besar dan pekan-pekan kecil.

Ia merupakan kali ketiga dalam tempoh kurang setahun rakyat Amerika turun ke jalanan, sebagai sebahagian daripada gerakan akar umbi dipanggil ‘No Kings’.

Penunjuk perasaan memegang kanvas mengandungi kata-kata pembukaan Mukadimah Perlembagaan AS ketika berarak di Bandar Raya New York pada 28 Mac 2026. Foto AFP

Di New York, puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun, manakala protes juga berlaku dari Atlanta ke San Diego, negeri California, dengan penduduk di Alaska turut menyertai perhimpunan tersebut kemudian.

“Tiada negara yang boleh memerintah tanpa persetujuan rakyat,” kata veteran tentera berusia 36 tahun, Marc McCaughey kepada AFP di Atlanta.

“Kami berada di sini kerana kami merasakan Perlembagaan terancam dalam pelbagai cara. Keadaan tidak normal. Keadaan tidak baik,” tambahnya.

Di bandar West Bloomfield, negeri Michigan, orang ramai keluar ke jalanan ketika suhu di bawah paras beku.

Di ibu negara AS, Washington, beribu-ribu penunjuk perasaan, dengan ada yang membawa sepanduk bertulis ‘Trump Mesti Berundur Sekarang’ dan ‘Lawan Fasisme’ berpusu-pusu ke National Mall.

“Trump terus berbohong, berbohong, berbohong dan berbohong, namun tiada siapa yang berkata apa-apa. Jadi, situasi yang kami hadapi sangat teruk,” kata pesara berusia 67 tahun, Robert Pavosevich, kepada AFP.

Suasana anti-Trump turut melangkaui sempadan AS, dengan perhimpunan semalam juga berlaku di bandar-bandar Eropah termasuk Amsterdam, Madrid dan Rom, di mana 20,000 orang berarak di bawah kehadiran polis yang ramai. – AFP

No comments: