KENYATAAN MEDIA
24 Ogos 2025
Saya merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini berhubung saman yang difailkan terhadap saya oleh Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan kenyataan saya pada 14 dan 15 Julai 2023.
Saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi. Pada masa yang sama, saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Mahkamah atas perhatian, masa dan pertimbangan yang telah diberikan sepanjang prosiding berlangsung.
Walau bagaimanapun, setelah meneliti keputusan tersebut bersama pasukan guaman, saya berpendirian bahawa terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk dirayu. Justeru, saya telah mengarahkan peguamcara saya untuk segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Saya juga akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu proses rayuan selesai.
Sebagai seorang yang menghormati prinsip keluhuran undang-undang, saya percaya sistem kehakiman negara akan memberikan ruang yang adil bagi saya mengemukakan hujah dan mempertahankan kebenaran.
Saya ingin menegaskan bahawa segala kenyataan yang saya keluarkan sebelum ini adalah berasaskan tanggungjawab saya dalam menyuarakan isu-isu kepentingan awam. Saya akan terus berpegang pada prinsip bahawa keterbukaan, integriti dan kebertanggungjawaban adalah asas penting dalam amalan demokrasi.
Sekian, terima kasih.
DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
24 Ogos 2025
No comments:
Post a Comment