MANA SEMUA PENYOKONG ANWAR, KENAPA TIADA SEORANG PUN TAMPIL HERET TAKIYUDDIN KE MAHKAMAH SYARIAH ATAS KESALAHAN QAZAF?



Sehari dua ini kecoh kembali para penyokong PH bercakap tentang Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hasan yang menimbulkan semula isu liwat yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.


Difahamkan beliau bercakap mengenai isu berkenaan ketika berceramah dalam kempen PRK Kuala Kubu Bharu, baru-baru ini.


Paling banyak mereka mengaitkan perbuatan Takiyuddin itu ialah dengan kesalahan qazaf iaitu menuduh seseorang dengan dakwaan melakukan zina atau liwat dengan tujuan menghina tanpa mengemukan empat orang saksi.


Selain itu tidak kurang yang menyerang Takiyuddin dengan amalan politik murahan dan bermulut puaka kerana mengitar semula pertuduhan yang konsisten dinafikan Anwar sejak dulu sebagai fitnah untuk membunuh masa depan politiknya.


Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Takiyuddin itu bukanlah sesuatu yang asing dalam blok PN.


Sebelum itu, Naib Presiden Bersatu merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Mohd Radzi Jidin telah secara terbuka dan terang-terangan menyerang Anwar sebagai peliwat di dalam Parlimen.


Selain itu, beberapa penggiat media sosial pro BN, bermula sejak Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri lagi dan sehinggalah sekarang, masih berterusan dan tidak henti-henti memainkan isu tersebut dalam pelbagai versi untuk tujuan yang satu – menghina dan mengaibkan Anwar sebagai Perdana Menteri.


Sebelum ini, memang Anwar beberapa kali membawa kes qazaf ke mahkamah terhadap mereka yang menuduh dan mengaitkannya dengan pertuduhan liwat.


Sudah tentu, oleh kerana ketika itu Anwar berada di blok pembankang, semua kes yang dibawanya itu ditolak begitu saja.


Tetapi, sekarang keadaan sudah berbeza, selain PH mengetuai kerajaan, Anwar sendiri adalah Perdana Menteri dan ketua kerajaan.


Oleh yang demikian, kenapa masih dibiarkan banyak pihak terus menuduh Anwar dengan perbuatan liwat, walhal mereka tidak pun pernah mengemukakan empat saksi?


Sebagai Perdana Menteri, pastinya munasabah bagi Anwar tidak melayan semua pertuduhan tersebut, tetapi takkan para penyokong Anwar dalam PH, PKR, pelbagai NGO, orang perseorangan yang setia menyokongnya, masih sampai hati hanya duduk diam dan membiarkan saja kesalahan qazaf itu berterusan?


Sebahagian daripada mereka dilihat sekadar ada menulis di media sosial atau mengeluarkan kenyataan dengan menyerang kembali penuduh tersebut dan paling ramai hanya berani mengonel dalam Grup Whatsapp semata-mata.


Mana cukup begitu bro…PH kan dah jadi kerajaan sekarang?


Sepatutnya dalam kedaan sekarang, para penyokong. Anwar, terutama pemimpin PKR sendiri dan mereka yang diberi jawatan dan kedudukan dengan pelbagai imbuhan, haruslah bertindak lebih agresif serta proaktif membela Perdana Menteri.


Membuat kenyataan media, menulis di media sosial atau mengomel dalam Grup Whatsapp sudah tidak relevan lagi dalam keadaan sudah jadi kerajaan.


Sudah sampai masanya mereka yang menuduh Anwar sebagai peliwat tanpa mengemukan empat saksi diheret ke mahkamah syariah atas kesalahan qazaf.


Dalam keadaan sekarang, mulakan dengan heret Takiyuddin dulu ke mahkamah syariah atas kesalahan yang dilakukannya itu.


Jangan dibiarkan beterusan Perdana Menteri kita dihina dan dimalukan secara terbuka.


Tindakan berdasarkan undang-undang mesti dikenakan ke atas mereka yang sembrono menuduh tanpa mengemukakan empat saksi daripada terus bergentayangan dengan perbuatan mereka.


Dalam hal ini, janganlah diharapkan Anwar sendiri yang berbuat demikian sebagaimana dahulu, lagi pun sebagai Perdana Menteri, beliau lebih banyak urusan lain yang lebih penting untuk diutamakan.


Setelah menjadi Perdana Menteri, kerja penyokong dan mereka yang diberi jawatan itu pulaklah yang patut berbuat demikian.


Takkan tak reti-reti lagi? – ShahbudinHusin 11Mei2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/05/11/mana-semua-penyokong-anwar-kenapa-tiada-seorang-pun-tampil-heret-takiyuddin-ke-mahkamah-atas-kesalahan-qazaf.html