PERAP KEPUTUSAN LEMBAGA PENGAMPUNAN PETUNJUK LEMAHNYA KOMUNIKASI KERAJAAN

 

Walaupun keputusan sebenar Lembaga Pengampunan berkaitan Najib Razak masih belum diketahui, pelbagai pihak – di alam nyata dan di alam maya – mula mempertikai dan menghentam kerajaan berkaitan dengannya.

Di mana-mana kita boleh mendengar mereka mempertikaikan kelambatan kerajaan mengumumkan Lembaga Pengampunan itu.

Sebenarnya bukan keputusan Lembaga Pengampunan itu yang menjadi persoalan, tetapi yang dipersoalkan ialah mengapa keputusannya masih diperap daripada pengetahuan umum sehingga kini?

Sementara tugas Lembaga Pengampunan WP yang dipengerusikan Yang Dipertuan Agong (ketika itu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) ialah membuat keputusan dan adalah hak serta budi bicara baginda memutuskan apa juga ketetapan berhubung permohonan pengampunan, peranan kerajaan pula ialah memaklumkannya kepada pengetahuan umum apa yang diputuskan itu.

Oleh kerana ia terus diperap, maka akhirnya media Singapura yang lebih dulu memperolehi maklumat mengenai keputusan Lembaga Pengampunan itu dan kemudian mendedahkannya.

Sama ada betul atau tidak betul apa yang didedahkan media Singapura itu, yang nyata ini adalah petunjuk ketara kelemahan komunikasi yang ada pada kerajaan.

Lebih-lebih lagi kalau apa yang didedahkan media Singapura itu adalah tepat, kelemahan komunikasi kerajaan akan bertambah parah kerana ia akan menyebabkan keputusan rasmi Lembaga Pengampunan yang diumumkan nanti sudah tidak bernilai lagi.

Soalnya, kenapa keputusan sepenting itu kerana melibatkan seorang bekas Perdana Menteri, mahu diperap sekian lama?

Kenapa tidak selepas tamat saja mesyuarat Lembaga Pengampunan pada Isnin lalu, kerajaan terus saja memaklumkan keputusannya?

Untuk apa seorang menteri berkata – tunggu sehari dua lagi dan seorang lagi menteri pula berkata – Insya Allah minggu ini akan diumumkan keputusan Lembaga Pengampunan itu?

Kalau sudah ada keputusan dan keputusan itu pula telah diperakui dan diterima, nak tunggu apa lagi?

Bukankah jika keputusannya diberitahu lebih awal, semua kekalutan yang timbul sekarang boleh dielakkan?

Apa yang harus disedari, zaman kini adalah zaman langit terbuka dan semua benda bergerak lebih pantas berbanding zaman akhbar bercetak kertas dahulu.

Untuk itu, apa juga keputusan yang telah dibuat, lebih-lebih lagi dalam kes penting seperti pengampunan Najib ini, ia mesti dihebahkan dengan segara dan tidak boleh diperap lagi.

Jika diperap, ia pasti akan bocor dan terdedah secara tidak rasmi juga akhirnya, sekaligus memberi malu kepada fungsi komunikasi kerajaan itu sendiri.

Ini baru soal komunikasi kecil iaitu berkaitan keputusan mesyuarat Lembaga Pengampunan, bagaimana nanti komunikasi dalam isu yang lebih besar seperti menangkis serangan pembangkang, membina naratif berkaitan beberapa perkara utama melibatkan keputusan kerajaan, mempertahankan Perdana Menteri dan menghadapi “perang PRU16”?

Mampukah komunikasi sedia ada menjamin Anwar Ibrahim kekal lebih daripada sepenggal? – ShahbudinHusin 01/02/2024.