Puad Zarkashi membidas seorang wakil rakyat PKR kerana
menyatakan Umno perlu rombakan pemimpin.
Ahli majlis kerja tertinggi Umno itu menyifatkan Ahli
Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, sebagai ahli PKR yang ‘tidak tahu cermin
diri’ susulan kenyataannya berkenaan parti sekutu itu.
“Ini masalah Hassan Karim. Dia dan beberapa lagi pemimpin
PKR tidak tahu cermin diri sendiri,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Hassan berkata Umno perlu rombakan pemimpin
baharu untuk mendapatkan undi Melayu bagi Barisan Nasional-Pakatan Harapan, dan
selagi ia dipimpin Presiden Zahid Hamidi, orang Melayu sukar menyokong Umno,
BN, atau BN-PH.
Puad berkata Hassan sepatutnya mendesak Perdana Menteri
Anwar Ibrahim, yang juga presiden PKR, menukar menteri PKR yang tidak mencapai
prestasi.
“Apa Rafizi Ramli buat untuk ekonomi rakyat. Setakat daftar
Pangkalan Data Utama. Jangan lupa premier Sarawak juga memberi komen negatif
terhadap menteri pendidikan dari PKR. Kenapa Hassan diam,” katanya.
BN dan PH membentuk kerjasama menubuhkan kerajaan perpaduan
bersama beberapa gabungan politik lain, selepas tiada parti mampu menubuhkan
kerajaan sendiri selepas PRU15.
Pada konvensyen kerajaan perpaduan di Ipoh 28 Jan lepas,
Zahid menyatakan beliau yakin kerajaan perpaduan akan kekal memerintah sehingga
selepas PRU16.
Hassan bagaimanapun berkata Umno perlu rombakan pemimpin
kerana jika tidak, “Umno bawah Zahid akan menumpang di dahan PH pimpinan Anwar
yang tidak kuat mana pun”.
Puad mengingatkan bahawa Zahid terus menjadi presiden Umno
atas kemahuan akar umbi Umno sendiri, sebaliknya menyarankan Hassan melihat
isu-isu berbangkit sekitar pengundian dalam talian pada pemilihan PKR.
Sumber –
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/01/31/sekutu-perlu-rombak-pemimpin-puad-kata-wakil-rakyat-pkr-tak-tahu-cermin-diri/
5
Article Rating