Cukup hingar berita tentang pihak polis semenjak baru-baru ini:
tuduhan berkaitan kecurian, pembunuhan, peras ugut dan
serangan seksual telah wujud terhadap beberapa pegawai
polis dalam beberapa minggu lalu.
Di tengah kecamukan ini, ketua polis negara pula berkata hanya segelintir pegawai dan anggota
polis – kurang daripada 2% – yang bergelut dengan isu dan terlibat dalam
aktiviti jenayah. Beliau memberi jaminan bahawa orang ramai boleh mempercayai
pasukan polis untuk menjalankan siasatan telus terhadap kes jenayah membabitkan
anggotanya.
Benar, tindakan pantas telah diambil untuk menahan dua anggota
polis yang menjadi suspek kes rogol dan peras ugut. Susulan siasatan, kedua-dua
lelaki itu kemudiannya didakwa di mahkamah. Tempoh masa daripada proses pendakwaan kepada pertuduhan di mahkamah mengambil masa kurang
daripada dua minggu.
Didakwa di mahkamah menunjukkan aduan itu diambil serius dan
beberapa bukti salah laku memang wujud. Yang penting, ia adalah percubaan untuk
memulakan proses meminta seseorang bertanggungjawab atas tindakannya.
Namun, didakwa di mahkamah tidak bermakna sabitan akan terus
dijatuhkan serta-merta melainkan tertuduh mengaku bersalah. Dalam kes di atas,
ia masih belum berlaku. Jadi, keputusan perbicaraan adalah perkara lain sama
sekali.
Tindakan pantas polis terhadap pegawai mereka sendiri dalam kes
di atas amat berbeza dengan kes Kathir Oli. Kontraktor berusia 31 tahun itu
ditembak oleh seorang pegawai polis pada 2011 di luar sebuah pub di Ipoh.
Keluarga mangsa, serta dibantu oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM),
telah mengambil masa selama 12 tahun untuk mendapatkan beberapa kebenaran
tentang apa yang berlaku pada malam kejadian. Ia adalah perjuangan yang panjang
untuk mendapatkan inkues diadakan dan merayu agar keputusan terbuka koroner
dicapai.
Support the struggle to build a Malaysia based
on Justice, Freedom, Solidarity:
·
Sign
up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
·
Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran
Negara, CIMB a/c 8004240948
·
Make a
regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
Tel:
04-658 5251 email: aliran.malaysia@yahoo.com
Akhirnya, pada Januari 2024, Mahkamah
Tinggi Ipoh memutuskan bahawa pembunuhan Kathir bukanlah satu
tindakan mempertahankan diri seperti yang didakwa oleh polis, tetapi satu
pembunuhan.
Apakah yang akan berlaku seterusnya? Adakah peguam negara akan
mendakwa pegawai polis itu berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi – atau adakah
akan ada rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi? Apakah yang perlu diambil
untuk mendapatkan kebertanggungjawaban daripada pegawai polis yang menembak
Kathir?
Pegawai
yang penyangak atau masalah yang mengakar?
Sementara kita mengutarakan pegawai polis yang melakukan
kesalahan dalam pasukan polis, seperti yang telah dilakukan oleh segelintir orang baru-baru ini, adalah salah
untuk tidak mengiktiraf wujudnya pegawai polis yang telah menunjukkan dedikasi
di luar tugasan mereka.
Ramai pegawai bekerja tanpa jemu untuk melindungi orang ramai
daripada jenayah dan menguatkuasakan undang-undang. Ramai yang telah
mengorbankan bukan sahaja masa, malah, kadangkala nyawa mereka dalam
menjalankan tugas. Negara cukup berhutang budi kepada pegawai yang berdedikasi
ini.
READ MORE: Reining in the police
Namun, kehadiran pegawai polis yang berdedikasi ini tidak dapat
mengurangkan aduan salah laku polis dan salah guna kuasa.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa kejadian ini adalah
disebabkan oleh beberapa pegawai penyangak yang bertindak di luar skop kuasa
sah mereka. Tetapi adakah ia benar-benar kes seperti kata pepatah kerana nila
setitik, rosak susu sebelanga?
Ada pihak yang berpendapat sebaliknya – bahawa salah laku
yang terbongkar menunjukkan masalah sistemik dalam pasukan polis yang
membolehkan pegawai penyangak meneruskan cara yang mereka lakukan tanpa
hukuman.
Jika ‘tembok biru yang membungkam’ itu wujud, maka pegawai polis
penyangak seperti itu akan terus dilindungi daripada pengawasan awam atau
daripada kebertanggungjawab atas kesalahan mereka.
Melaporkan
salah laku serta penyalahgunaan kuasa polis
Kes salah laku polis atau salah guna kuasa hanya terdedah
apabila orang ramai berani membuat laporan polis. Atau jika media mengambilnya
– seperti yang ditunjukkan baru-baru ini apabila video seorang pegawai polis menyerang
seorang lelaki menjadi tular dan mendapat perhatian umum.
Jaminan kemudiannya diberikan bahawa
siasatan akan dijalankan dan tindakan diambil.
Namun, berapa ramai yang berada dalam kedudukan, apabila
dihalang oleh polis ataupun apabila ditahan, sempat merakam menggunakan telefon
bimbit tentang apa yang berlaku kepada mereka atau orang lain – dan itu pun,
jika mereka mempunyai telefon bersama dengan mereka ketika kejadian?
Fikirkan juga perbezaan kuasa di antara pegawai polis dan orang
biasa yang sedang diberhentikan atau ditahan oleh polis. Orang yang berada
dalam keadaan rentan – contohnya, pelarian atau pekerja
asing – akan mendapati betapa sukarnya untuk membuat laporan
tentang gangguan polis.
Orang ramai juga mungkin takut akan kesan daripada membuat
laporan terhadap polis. Siapa yang akan menyokong dakwaan mereka? Dan berapa
ramai pegawai polis yang akan melaporkan tentang rakan sekerja mereka sendiri?
Tanpa laporan dibuat, seseorang hanya boleh tertanya-tanya
sejauh mana salah laku polis. Sesuatu yang pastinya mengerikan.
Orang ramai mengharapkan standard kepolisan yang baik serta
profesionalisme yang tinggi dalam pasukan.
Ya, polis hanyalah manusia dan mampu melakukan kesilapan. Namun,
hakikatnya mereka memang diamanahkan dengan kuasa untuk menjaga undang-undang
dan ketenteraman – dan ini menjadikan salah laku dan salah guna kuasa sama
sekali tidak boleh diterima.
READ MORE: Will the IPCC help the police chief cover up the
Ahmet T Kuru incident? - Caged
Tidak kiralah sama ada salah laku itu melibatkan orang yang
tidak bersalah, suspek dalam kes atau jenayah berat. Undang-undang diwujudkan
untuk memastikan perlindungan hak dan kesejahteraan suspek semasa ditahan atau
dalam tahanan polis.
Namun, apabila mata ditutup dalam soal undang-undang sedia ada,
apabila prosedur standard tidak dipatuhi, apabila langkah pencegahan kurang
atau apabila penderaan berlaku, ia akan mengakibatkan bukan sahaja kesalahan
jenayah dilakukan tetapi juga memudaratkan mangsa dan kadangkala, kematian,
iaitu kematian dalam tahanan polis atau tembakan oleh anggota polis.
Mengawasi
polis
Setiap kali kes salah laku polis atau salah guna kuasa
terbongkar, kepercayaan orang ramai dan rasa hormat terhadap pasukan polis
semakin terhakis.
Oleh itu, adalah penting, jika ada anggota polis melanggar
undang-undang, mereka mesti segera dipertanggungjawabkan dan dibawa ke muka
pengadilan. Ini akan membina kepercayaan orang ramai terhadap pasukan dan
menetapkan standard untuk profesionalisme polis.
Namun, adakah polis sendiri boleh diawasi? Sudah 19 tahun
lamanya sejak suruhanjaya bebas aduan dan salah laku polis (IPCMC) pertama kali
dicadangkan oleh suruhanjaya diraja mengenai operasi polis pada 2005.
Seperti yang telah
didokumenkan sebelum ini, ia mengambil masa 14 tahun sebelum
Rang Undang-undang IPCMC dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan di Parlimen
pada 2019. IPCMC bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi
Penguatkuasaan (EAIC) yang ditubuhkan pada 2011 untuk menyiasat salah laku
agensi penguat kuasa undang-undang.
Rang Undang-undang IPCMC akhirnya dirujuk untuk semakan kepada jawatankuasa
pilihan parlimen.
Namun, dek kerana kejatuhan kerajaan PH pada tahun 2020 dan
kekurangan komitmen kepada IPCMC oleh kerajaan seterusnya pimpinan Perikatan
Nasional, kita sebaliknya menubuhkan Suruhanjaya Bebas Kelakuan Polis (IPCC)
pada 2022.
IPCC telah digambarkan sebagai versi IPCMC yang tidak
begitu kukuh – tidak mempunyai kuasa penyiasatan dan disiplin. Antara kelemahan
yang disenaraikan, IPCC hanya boleh mencadangkan
tindakan yang disyorkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis atau pihak berkuasa
lain yang berkaitan sekiranya pegawai polis didapati melakukan kesalahan.
Soalnya, siapa yang dapat memastikan bahawa cadangan itu akan
diterima dan dilaksanakan? Apakah penerimaan cadangan oleh EAIC dan Suhakam
kepada polis selama ini? Betapa realistiknya untuk mengharapkan polis bagi
mengawasi pihak polis itu sendiri?
Beberapa pihak telah pun menggesa agar IPCC diperkukuhkan bagi menangani salah laku
polis.
Apa
seterusnya?
Jadi, ke mana kita hendak pergi dari semua ini? Jawapannya ada
terletak pada masyarakat sivil, media dan badan kehakiman. Tekanan daripada
orang awam dan media mempunyai peranan penting dalam mendorong
kebertanggungjawaban polis, profesionalisme dan perubahan dalam budaya
kepolisan.
Desakan sedemikian telah menghasilkan beberapa usaha bagi
mewujudkan pasukan polis yang lebih telus dan bertanggungjawab.
Pemasangan kamera CCTV di sel polis serta penggunaan
kamera yang dipakai di badan anggota polis yang bertugas
di luar pejabat adalah langkah yang dialu-alukan.
Satu lagi langkah ke arah yang betul ialah pengumuman untuk
menubuhkan unit jagaan perubatan di lima pusat tahanan
polis berpusat dalam usaha mengurangkan kematian dalam tahanan.
Penghasilan modul hak asasi manusia oleh kedua-dua
Suhakam dan polis untuk mengukuhkan latihan pegawai polis juga akan
meningkatkan kesedaran tentang piawaian penting.
Semua inisiatif ini masih perlu dipantau untuk pelaksanaan yang
betul, wujudnya tindakan susulan serta keberkesanan. Cukup besar harapan agar
orang ramai dan media untuk bukan sahaja mengawasi tetapi juga menyerlahkan dan
memantau usaha ini. Tetapi ia mesti dilakukan.
Jangan kita lupa juga peranan badan kehakiman. Orang ramai akan
melihat kepada mahkamah untuk mendapatkan keadilan apabila hak dicabuli. Badan
kehakiman adalah institusi utama untuk melindungi rakyat daripada pencabulan
yang dilakukan oleh institusi dalam negara.
Oleh itu, mahkamah mesti terbuka kepada kemungkinan
penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa dalam negara (dalam kes ini polis) dan
bersungguh-sungguh untuk mencari kebenaran perkara itu, termasuk melalui mahkamah koroner.
Meningkatkan standard dan profesionalisme polis dalam pasukan
polis adalah matlamat jangka panjang yang perlu diusahakan. Ia tidak akan
berlaku dalam sekelip mata.
Tetapi ia akan dibentuk oleh usaha mereka yang mahukan perubahan
ke arah kebaikan. Kes mendiang Kathir Oli adalah salah satu contoh kegigihan
ahli keluarga untuk mendedahkan kebenaran secara terbuka dan mendapatkan
kebertanggungjawab daripada polis. Ia tidak dicapai tanpa kesakitan dan
kepedihan selama bertahun-tahun.
Jadi, kita mesti terus mempertanggungjawabkan kerajaan, termasuk
Kementerian Dalam Negeri, supaya piawai kepolisan dapat dipertingkatkan.
Kita mesti menggalakkan dan menyokong inisiatif yang baik untuk
kepolisan yang lebih baik.
Dan kita mesti terus menyeru salah laku polis dan salah guna
kuasa dan impunitas yang membenarkan penyalahgunaan itu berlaku.
Tiada apa-apa yang akan berubah melainkan kitalah yang mencipta
desakan untuk perubahan itu.
Prema Devaraj
Editor bersama, surat berita Aliran
30 Januari 2024
Terjemahan oleh: Zikri Rahman