Kerangka kerjasama ASEAN - GCC sangat bersejarah - PM

 

Perdana Menteri (PM) menyifatkan kerangka Kerjasama 2024-2028 antara blok ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dicapai melalui Sidang Kemuncak di Riyadh pada Jumaat sebagai sangat bersejarah.



Dalam wawancara bersama Arab News, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama strategik itu telah dibincangkan selama bertahun-tahun sehingga Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman memutuskan untuk menjadi tuan rumah mesyuarat kerjasama dan Malaysia dilantik menjadi penyelaras bagi pihak ASEAN.

"Ini bersejarah dalam erti kata GCC dan ASEAN adalah dua kumpulan serantau kecil yang sangat bertenaga dari segi ekonomi, dan kami menjalin kerjasama ini tanpa pengaruh kuasa besar.



"Kami menyelesaikan beberapa parameter mengenai bagaimana untuk meningkatkan lagi isu perdagangan dan mekanisme untuk memupuk perdagangan pelaburan," katanya pada wawancara tersebut.



Menyentuh mengenai hubungan bilateral dan kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi, Anwar menyifatkan hubungan dan kepercayaan antara dua negara sebagai 'agak unik' dan berharap dapat mengukuhkan lagi kerjasama itu.



Jelasnya, walaupun beberapa syarikat besar dari Malaysia dan Arab Saudi telah bekerjasama, dengan tumpuan kepada projek infrastruktur termasuk tenaga hijau serta maklumat dan teknologi (IT), kedua-dua negara boleh meneroka bidang yang lebih khusus.



"Saya berpendapat itulah secara amnya mengapa pertemuan seperti ini penting. Sebab itu bukan sahaja Menteri Luar, bahkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri juga (ada) di sini kerana mereka perlu membuat tindakan susulan mengenai bidang khusus yang boleh kita terokai," tegasnya.



Justeru kata Anwar, Malaysia bersedia untuk memeterai kerjasama baharu dengan Arab Saudi dalam pelbagai bidang, termasuk teknologi hijau.



"Kerajaan di bawah kepimpinan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, kini telah melonjakkan pelaburan pembangunan dengan cara yang hebat.



"Justeru, Malaysia, seperti yang anda tahu, perlu mengekalkan kerjasama dua hala ini," katanya yang juga Menteri Kewangan.



Sebagai rekod, Arab Saudi ialah rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan dua hala mencatatkan AS$10.26 bilion pada 2022, meningkat 159.2 peratus daripada 2021 (AS$1=RM4.77).



Antara projek utama Arab Saudi di Malaysia ialah Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor oleh Saudi Aramco.

 

No comments: