Waspada iklan sewa akaun bank


Polis berkata, individu berusia 20 hingga 40-an terjebak dengan sindiket
 penipuan itu kerana tiada kerja tetap selepas dijanjikan wang dengan
 cara mudah. (Gambar Bloomberg)

PETALING JAYA: Polis menasihatkan orang ramai lebih berwaspada terhadap sindiket penipuan yang secara terbuka memuat naik iklan menyewa akaun bank milik individu untuk kegiatan jenayah mereka.

Golongan muda atau individu terdesak dikatakan sering terjerat dengan cara mudah mendapatkan wang tanpa menyedari mereka menjadi keldai akaun dan terlibat dengan aktiviti penipuan kewangan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Aibee Ab Ghani, sindiket terbabit mencari mangsa bagi menyewa akaun bank mereka untuk digunakan sebagai transit.

“Kebiasaannya, golongan yang berusia dari 20 hingga 40-an yang terjebak dengan sindiket ini kerana tiada kerja tetap selepas dijanjikan wang dengan cara mudah,” katanya menurut laporan Harian Metro.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Walaupun hukuman terhadap keldai akaun mungkin ringan, tetapi katanya, ia akan memberi kesan dalam jangka panjang.


Sindiket penipuan semakin berani dengan memuat naik iklan menyewa
 akaun bank milik individu secara terbuka di media sosial.

“Keldai akaun juga boleh ditahan serta dituduh kerana terlibat dengan sindiket penipuan dan hukumannya mungkin dianggap ringan, namun sebaik keluar penjara, mereka tetap mempunyai rekod lampau.

“Ini menyukarkan mereka mendapatkan pekerjaan dan difahamkan juga akaun bank mereka akan dibekukan, selain tidak dibenarkan membuka akaun baharu.

“Namun, ramai masih tidak sedar dan ada juga kes di mana akaun digunakan selepas diserahkan kepada along ketika membuat pinjaman daripada pemberi pinjaman tidak berlesen itu.”

Beliau berkata, polis sukar membuktikan penglibatan pemilik akaun media sosial dengan sindiket penipuan hanya berdasarkan iklan, kecuali laporan polis dibuat terhadap pengendali media sosial terbabit.

Sejak Januari hingga Mei lalu, JSJK Negeri Sembilan menahan 565 suspek terbabit jenayah komersial, dengan 343 atau 60% terdiri daripada keldai akaun.