Berniaga Depan Kaabah
Seolah-olah sudah menjadi trend dalam kalangan
segelintir usahawan dan peniaga melayu-muslim mempromosikan produk mereka di
hadapan kaabah. Tidak pastilah apa motifnya, namun ia berkemungkinan dianggap
sebagai salah satu ikhtiar untuk melariskan produk mereka.
Tidak ketinggalan, ada segelintir ustaz/ustazah
selebriti (usleb) dan ada juga dalam kalangan mereka yang menjadi duta sesuatu
produk mempromosikan produk di hadapan kaabah sama ada menerusi video ataupun
bergambar dengan produk tersebut di hadapan kaabah. Ada yang mempromosikan
produk suplemen, minyak atar dan seumpamanya, malahan ada individu yang
beperwatakan ustaz tergamak memfatwakan “kehalalan” forex trading di hadapan
kaabah yang suci lagi mulia.
Saya tak pasti sejauh mana mujarabnya tindakan
segelintir mereka yang mempromosikan kegiatan perniagaan mereka di hadapan
kaabah, namun setakat pengetahuan saya sebarang urusan perniagaan yang
dilakukan di dalam rumah Allah (secara umumnya masjid) jika tidak haram
sekalipun, majoriti ulama menganggapnya makruh.
Hal ini kerana, antara maqsad (tujuan) kita berada di
dalam rumah Allah adalah untuk berzikir, mengingati dan mengagungkan Allah.
Perkara ini dapat kita fahami menerusi ayat:
فِی بُیُوتٍ أَذِنَ ٱللَّهُ أَن تُرۡفَعَ وَیُذۡكَرَ فِیهَا ٱسۡمُهُۥ یُسَبِّحُ لَهُۥ فِیهَا بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡـَٔاصَالِ﴿ ٣٦ ﴾
“Di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh
Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah
padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu
pagi dan petang.”
Ayat ini disusuli dengan pernyataan yang menegaskan
perbezaan antara individu yang benar-benar memenuhi maksud keberadaan di rumah
Allah dengan mereka yang dilalaikan dengan urusan lain:
رِجَالࣱ لَّا تُلۡهِیهِمۡ تِجَـٰرَةࣱ وَلَا بَیۡعٌ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَإِقَامِ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِیتَاۤءِ ٱلزَّكَوٰةِ یَخَافُونَ یَوۡمࣰا تَتَقَلَّبُ فِیهِ ٱلۡقُلُوبُ وَٱلۡأَبۡصَـٰرُ﴿ ٣٧ ﴾
“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang
tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta
mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka
takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”
Di samping itu, hadis-hadis Nabi SAW turut
menegaskan dengan nada yang sama, umpamanya yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi
daripada Abu Hurairah:
إذا رأيتم من يبيع أو يبتاع في المسجد فقولوا لا أربح الله تجارتك
Jika sekiranya kamu melihat seseorang yang berjual
beli di dalam masjid, maka katakan kepadanya: Semoga Allah tidak memberikan
keuntungan kepada perniagaan kamu.
Justeru, meskipun sebahagian ulama menyatakan
menerusi hadis ini, akad jual beli dianggap sah, akan tetapi disebabkan ia
mengandungi amaran keras Nabi SAW maka ia dihukum makruh dan fasid. Oleh yang
demikian, sebarang perbuatan yang mengandungi elemen jual beli ataupun medium
yang menyampaikan kepada maksud jual beli termasuklah promosi, iklan dan
seumpamanya yang dilakukan di dalam masjid turut mengambil hukum yang sama.
Perkara ini berbeza dengan pengumuman yang
dilakukan oleh pihak masjid yang menyatakan ada jualan di perkarangan masjid
ataupun di ruangan parkir (atau ruangan khas selain ruang solat utama), maka ia
tidak termasuk dalam konteks larangan/amaran ini. Buku Fiqah Pengurusan Masjid
turut memuatkan tatacara aktiviti perniagaan di masjid yang wajar dijadikan
panduan oleh semua.
Nota: Boleh baca resensi ringkas saya berkenaan
buku Fiqah Pengurusan Masjid menerusi pautan berikut:
https://www.facebook.com/100001041377127/posts/5400703586640967/?d=n
Furqan Abdullah