Zahid tumpang berkat Najib Razak - walau Najib sendiri dibebani dengan masalah peribadi

 


MSO

Zahid tumpang berkat Najib Razak


Kemesraan Najib dan Zahid, 
apa yang mereka ketawakan?
 

MENURUT Zahid Hamidi aura "boos"nya (boosmu) Najib Razak tidak pernah pudar walaupun Najib tidak lagi menjadi perdana menteri. Katanya walaupun Najib dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM140 juta beliau masih mendapat sokongan kuat.

“Aura bossku tidak pernah pudar. Malah ketika jadi perdana menteri, auranya cukup tinggi.

“Selepas tidak jadi perdana menteri, aura dia tetap terus tinggi,” memetik kata-katanya kepada pemberita di Mersing hari ini.

Zahid merujuk kehebatan Najib itu kepada pencapaian BN dalam pilihan raya kecil yang dilalui oleh parti itu semasa menjadi pembangkang ketika PH menjadi kerajaan, dimana BN menang 7 kali pilihan raya kecil disamping dapat merampas semula kerajaan Melaka dan Sabah dalam pilihan raya negeri lalu.

Apa disuarakan Zahid itu adalah pujian dan sanjungan tradisinya kepada Najib. Zahid yang terkenal sebagai seorang suka memuji dan kaki bodek, seolah-olah sedikitpun tidak terkilan dan sangsi kepada Najib dengan apa dihadapi bossnya itu.

 

Zahid seakan tidak tahu apa yang sedang bergelora di dalam hati bossnya itu yang kini hanya menanti rayuan di Mahkamah Persekutuan sahaja untuk menentukan bekas PM itu akan berihat di Sungai Buloh atau bebas. 

 

Zahid sendiri yang kini berhadapan dengan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah, tidak ada yang terbaik baginya melainkan memuji dan mempertahankan bossnya. Zahid perlu memastikan Najib tidak dibawa ke penjara kerana jika Najib berihat dipenjara sudah tentu beliau akan membuntuti selepas itu? 

 

Seperti juga Najib, Zahid sedang berdoa dan bermunajat untuk menyelamatkan dirinya kini. Bagi Zahid aura yang ada kepada Najib itu diharap akan dapat melindunginya sama. Dalam perkiraan sekiranya Najib bebas dan dilepaskan daripada tuduhan maka beliau juga akan mendapat syufaatnya. Yang Zahid berharap kini ialah syufaat.

 

Bagi Zahid apa diharapkan Najib lepas kerana pembebasan untuk Najib ada sejuta rahmat buatnya. Apa lagi kalau setelah bebas itu Najib kembali menjadi perdana menteri kali kedua. 

 

Sebab itu Zahid bermati-matian mempertahan dan membela Najib sehingga sanggup mengelabukan apa sahaja fakta dan suasana. Beliau perlu memberi gambaran positif kepada orang ramai mengenai Najib Razak kononnya masih mendapat sokongan dan disokong oleh rakyat. Yang penting sanjungan itu memberi gambaran Najib tidak bersalah. Ia juga mungkin bagi mempengaruhi keputusan perbicaraan. Zahid mengeksploitasikan apa juga keadaan demi kepentingan bersama.

 

Walaupun kedatangan orang ramai ditempat Najib itu kerana hendak melihat Najib dari dekat, seperti mana kata Mahiaddin Yassin, kehadiran orang ramai itu bukan kerana aura dan kewangian Najib tetapi kerana nak tengok muka Najib dari dekat selepas dihukum penjara. Iya Najib selamba sahaja berjumpa dan bertumbuk tangan dengan orang ramai tanpa mempedulikan apa yang bergelora dalam jiwanya. Najib memang tidak tahu malu seperti kata Mahathir Mohamad.

 

Zahid jadi tidak keruan kerana semata-mata mahu mendapat dan mengharap syufaat daripada Najib. 

Alasan kemenangan BN sebanyak 7 kali dan kejayaan di Sabah dan Melaka, sama sekali tidak boleh disangkutkan ke atas bahu Najib. Najib tidak ada apa-apa aset dan faktor atau pun kelebihan dengan kemenangan itu. Tetapi nampaknya kejadian itu cuba dikelirukan Zahid. 

 

Kemenangan dalam pilihan raya kecil sebelum ini adalah kerana, Najib dan Zahid tidak lagi berada dalam kepimpinan UBN. Itu duduk perkaranya. Ketika tugas dan tanggungjawab memimpin Umno dijalankan oleh Mohamad Hassan selaku timbalan presiden. Zahid bercuti ketika itu. Penyerahan tanggungjawab kepada Mohamad itulah menjadi orang Umno yakin dan bersemangat kembali kepada parti itu. Orang Umno bersemangat untuk terus bersama Umno. 

 

Justeru kemenangan UBN sebanyak 7 kali dalam pilihan raya kecil seperti dibanggai dan dijadikan modal sebagai untuk mengagungkan Najib bukan atas usaha Zahid dan Najib. 

 

Demikian juga dengan kemenangan di pirane Melaka. Zahid tidak berfungsi sebagai pengarah pilihan raya di pilihan raya berkenaan sebaliknya ia dipimpin oleh Mohamad Hassan. Bahkan sepanjang pilihan raya itu berlangsung Zahid tidak berada dalam negara, dia berada di German. Pemergiannya itu bagi mengelakkan bau hampak Zahid merebak ke Melaka dan dihidu oleh pengundi di Melaka. Beliau kembali dan berada di Melaka setelah peti undi hendak ditutup. 

 

Demikian juga dengan Najib, walaupun beliau ada ikut sama berkempen, namun kehadirannya tidak memberi apa-apa signifikan kepada kemenangan BN di Melaka itu. Kemenangan BN di Melaka itu dilihat lebih kepada peratus keluar mengundi yang rendah dan ancaman Covid yang sedang melanda. Hakikat pencapaian UBN (peratus undian) tidak jauh beza dengan apa yang diperolehi dalam Piraum ke-14 lalu.

 

Pirane Johor ini akan memberi jawaban sebenar apakah Najib dan Zahid akan membawa faktor kemenangan kepada UBN. Sekiranya UBN menang besar di Johor nanti, barulah ia boleh diakui bahawa aura Najib masih ada dan membantu kemenangan UBN nanti. Kalau setakat apa yang berlaku sebelum ini, menang pilihan raya kecil 7 kali dan dapat rampas Melaka dan Sabah ia bukan ukuran mutlak. 

 

Jadi kepada orang ramai jangan mudah terpesona dan terpengaruh dengan dendangan lagu memuja dan memuji Najib Razak yang sudah pun layak digelar banduan apabila telah dijatuhi hukum penjara 12 tahun dan denda RM210. Najib dan Zahid kalau pun ingin kembali ke kancah politik semula tunggulah dulu semua kesnya di mahkamah diselesaikan. Dengan comotan noda dan dosa (kasu makhkamah) yang ada kini ia menjadi liabiliti kepada Umno. [wm.kl. 8:12 pm 04/03/2021]