Pinjaman syarikat judi: Zafrul perlu siasat bukan beri alasan mudah
Kontroversi pinjaman tanpa cagaran ke atas syarikat perjudian Genting Hong Kong yang muflis baru baru ini tidak wajar dijawab secara selesa oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, kerugian kira-kira RM2.5 bilion dialami 3 bank tempatan itu tidak sepatutnya didiamkan sahaja.
Kata Azan, Zafrul yang juga seorang ahli perbankan pastinya lebih mahir dalam isu berkenaan, dan pinjaman tanpa cagaran berpotensi menggugat institusi kewangan negara.
“Dengan rakyat yang buat pinjaman RM50,000 pun dikenakan dengan kadar faedah dan cagaran yang melampau, sampai mereka tak mampu meminjam. Jika prosedur ini (pinjaman tanpa cagaran) biasa bagi bank (sebagaimana jawapan Zafrul) ia pastinya melingkupkan institusi kewangan kita.
“Sepatutnya bank paling berhati-hati dalam memberi pinjaman apatah lagi pinjaman tanpa cagaran. Kecuali dia (Zafrul) nak menutup isu itu, atau tak ada jawapan untuk sahkan keadaan sebenar. Saya yakin dalam kes ini ada orang yang akan menjadi kambing hitam dan dipersalahkan.
“Saya tengok dari Kerajaan PN zaman Mahiaddin dan sekarang pemerintahan Ismail Sabri, semua sama, di mana kerajaan mengamalkan sikap pro kepada orang kaya dan perasuah,” katan Azan.
Tambah beliau, skandal terbaharu itu hanya akan memburukkan lagi tatakelola kerajaan dan pengurusan kewangan di Malaysia selepas skandal 1Malaysia Development Berhad yang masih belum berakhir sepenuhnya.
“Isu rasuah pemimpin Malaysia belum reda lagi, ditambah pula dengan isu pinjaman ini, sudah pasti negara kita dipandang buruk oleh orang luar.
“Jika kita ada pemimpin yang pro kepada perasuah, negara kita akan makin lingkup dan ranap,” ulasnya lagi.
Kelmarin, Zafrul berkata pemberian pinjaman tanpa cagaran bukanlah perkara yang luar biasa dalam sektor perbankan.
Bank-bank, jelasnya boleh meluluskan pinjaman tanpa cagaran berdasarkan kesanggupan bank tersebut mengambil risiko pada peringkat dalaman (risk appetite), penilaian kredit yang memenuhi kriteria dan kelulusan berdasarkan proses tadbir urus dalaman.
Terdahulu, tiga bank Malayan Banking Berhad (Maybank), Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad berdepan kerugian apabila syarikat Genting Hong Kong yang mengambil pinjaman daripada mereka diisytihar muflis.