PKR pelbagai kaum, PN pecah dan perintah
Dalam 22 tahun usia KEADILAN parti itu telah membuktikan kejayaan sebagai parti berbilang kaum paling berjaya di Malaysia.
Bagi Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang, parti lain khususnya seperti Umno, MIC, MCA dan lain-lain tidak mungkin mampu melakukan praktik keahlian berbilang kaum sebagaimana di dalam KEADILAN.
Oleh itu, katanya, KEADILAN amat layak untuk memimpin Malaysia.
“Mengapa Parti Keadian Rakyat sahaja yang boleh melakukan itu dengan ikhlas? Sebab parti KEADILAN ini adalah formasi pelbagai kaum.
“Mereka tak macam BN. Mereka kata pelbagai kaum tetapi Umno untuk Melayu, MCA Cina dan MIC India.
“Mereka tak seperti kita, satu parti untuk semua orang. Semua orang sama penting. Saya bagi contoh, katakan dalam pemilihan (dalaman) semua orang boleh undi. Boleh kata saya nak undi Melayu sebab Melayu majoriti dalam parti, tak boleh. Kalah teruk. Saya hanya nak undi Cina, tak cukup untuk menang.
“Kita perlukan undi dari semua kaum. Saya rasa dengan formasi macam ini parti kita sahaja yang betul betul berjuang untuk semua kaum,” katanya dalam forum maya Induksi KEADILAN, Siri 3, malam tadi.
Menjawab pertanyaan bagaimanakah KEADILAN akan berusaha di negeri-negeri yang belum dimenangi, Lih Kang berkata, parti sedang mengatur program ‘impak KEADILAN’.
Menurutnya, program tersebut memberi lebih fokus kepada negeri-negeri sasaran dengan pemberian bantuan khusus kepada rakyat miskin dan sebagainya.
“Negeri yang belum menang, kami ada strategi tertentu sebab setiap negeri ada keadaan berbeza dan perlu strategi berbeza. Tetapi secara umum negeri yang sudah menang diharapkan membantu kawan-kawan kita di negeri tak menang. Itu tradisi parti kita.
“Negeri belum menang KEADILAN ada program impak KEADILAN biar pun bukan khas untuk negeri belum menang, tetapi kebanyakan negeri itu menggunakan program ini untuk membantu rakyat di bawah.
“KEADILAN mengetepikan sejumlah dana untuk membantu kawan kawan kita di negeri yang belum menang. Untuk baiki rumah, projek air bersih dan lain lain.
“Sudah banyak Cabang sana memohon dan mendapat dana ini. Ini kira dana kecil untuk membantu rakyat di kawasan,” katanya.
Mengimbau pertanyaan berbentuk sejarah mengapakah kaum Cina kurang bersama KEADILAN pada peringkat awal penubuhannya, Lih Kang menjawab masyarakat Cina ketika 1998 – 1999 lebih melihat isu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebgai pergolakan politik Melayu dan tidak lagi melihat parti pelbagai kaum boleh berjaya di Malaysia.
“Saya rasa kebanyakan Cina pada masa itu melihat ia sebagai rusuhan dan isu orang Melayu. Cina tidak political sangat. Terutama komuniti perniagaan tidak mahu terlibat dengan reformasi. Tidak ada yang nampak KEADILAN boleh bertahan. Masa itu ada sikit kegelisahan tentang adakah Anwar dan parti boleh bertahan?
“Namun sepanjang 22 tahun ini, KEADILAN telah pun membuktikan kita survive. Ini memberikan keyakinan kepada kaum lain khasnya Cina.
“Kedua pimpinan parti ini memperjuangkan hak untuk semua rakyat. Dia bukan untuk majoriti atau untuk minioriti tetapi untuk semua rakyat secara adil.
“Ke hadapan, bagi semua kaum kita tidak boleh ada parti yang perjuangkan untuk satu kaum sahaja. Sekarang Cina pun ada keyakinan (kepada konsep pelbagai kaum). Selepas ini akan ada perkembangan yang lebih positif,” katanya lagi.