Pengerusi TH letak jawatan kerana tekanan politik? Ini kisahnya..Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary menjelaskan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, Pengerusi Tabung Haji (TH), Tan Sri Md Nor Yusof, dikekalkan sedangkan beliau dilantik ketika zaman Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya ini sekali gus menunjukkan peletakan jawatan Md Nor semalam tiada kaitan dengan tekanan politik, sebaliknya ia adalah proses peralihan biasa.
Jika benar ia membabitkan tekanan politik, pertukaran boleh dibuat apabila Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan selepas PH tumbang tahun lalu, katanya.
“Tiada tekanan politik kerana (bekas) pengerusi ini bermula dari zaman PH lagi, maka sepatutnya kalau tekanan politik, masa PN (jadi kerajaan), Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, lagi kita tukar,” katanya dipetik daripada laporan BH, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata peletakan jawatan Md Nor adalah proses peralihan biasa berdasarkan kepada kesesuaian zaman dalam perancangan strategik untuk membawa TH ke tahap lebih baik.
“Kita melihat kepada kesesuaian zaman ini dan barangkali ada perancangan strategik yang lebih memerlukan kepada kepakaran lain untuk kita bergerak lebih laju membawa TH,” katanya.
Semalam, TH mengumumkan Md Nor melepaskan jawatannya serta-merta setelah menjadi Pengerusi TH mulai 13 Julai 2018 menggantikan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Azeez adalah Ahli Parlimen Baling mewakili UMNO sejak 2013 dan menjadi Pengerusi TH sejak itu hingga digantikan pada akhir Mei 2018 susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 kepada PH. Azeez kini berdepan beberapa pertuduhan di mahkamah berkaitan kes rasuah.
Susulan peletakan jawatan Md Nor spekulasi timbul berkemungkinan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin akan meletak orang UMNO bagi mengetuai agensi tersebut, mengulangi langkah sama pernah dilakukan sebelum ini.
Sumber memberitahu Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO sedang menimbang beberapa nama pemimpin dalam parti itu untuk diletak menerajui TH, malah sebelum ini terdapat desakan sama ketika era pentadbiran Muhyiddin supaya orang politik mengetuai TH, tetapi beliau tidak melayannya.
Julai lalu, Ismail Sabri ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri juga mengumumkan kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH.
Ismail Sabri berkata berkata siasatan merangkumi hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.
Penubuhan RCI itu dibuat susulan tekanan daripada Pemuda UMNO supaya satu siasatan menyeluruh dibuat bagi mencari kebenaran di sebalik pelbagai urusan TH yang diputuskan ketika PH mentadbir kerajaan