Tanpa 'scheme of Things" biasanya sukar pemimpin politik
boleh naik. Tanpa 'jual beli durian', sukar untuk mengumpulkan sokongan. Jika
menentang korupsi, mana mungkin geng2 kapitalis yang berada dalam politik boleh
menyokong anda?
Inilah dilema yang Anwar Ibrahim hadapi sejak puluhan tahun.
Sepanjang kehidupannya bermula dari zaman muda hingga kini usianya menjejaki 74
tahun, prinsipnya yang amat menentang rasuah menyebabkan beliau sering
tersungkur. Terbukti, tiada satu kes rasuah pun yang pernah dikaitkan dengan
beliau jauh sekali didakwa atau dihukum. Jawatan PM silih berganti hingga
Mahiadin menjadi PM terakhir setakat ini, tiada seorang pun PM yang berjaya
mencari fail rasuah melibatkan Anwar Ibrahim. Tiada satu fail pun dijumpai
mencatatkan agihan projek kepada kaum kerabat dan keluarga tokoh reformasi ini.
Bahkan, sewaktu Anwar Ibrahim berada di dalam kabinet di era Mahathir, beliau
pernah menyekat pemberian tanah balak kepada ayahnya sendiri. Jika dengan
ayahnya pun beliau tidak izinkan perolehi projek atau imbuhan, apatah lagi
dengan rakan2 karib atau sesiapa sahaja. Pemberian biasiswa ke atas anak
sulungnya Nurul Izzah kerana menjadi seorang pelajar yang cemerlang, Anwar
Ibrahim enggan menerimanya atas alasan beliau seorang menteri kabinet dan tidak
layak anaknya menerima biasiswa.
Mahu tidak mahu, cara untuk memburukkan Anwar Ibrahim terpaksa
digunakan cara propaganda perkauman dan agama. Sewaktu Anwar berada dalam Umno
dan kerajaan, beliau berjaya menerapkan nilai2 Islam di dalam pentadbiran.
Universiti Islam, Bank Islam, Takaful, pendekatan Islamik di dalam pendidikan,
pelajar dan guru berugama Islam menutup aurat, pembelajaran buku teks tentang
amalan syirik seperti mandi safar atau bulan safar yang dipercayai kononnya
membawa bala, dihentikan di era Anwar Ibrahim. Ketika ini, Anwar di cop
'pelampau Islam' oleh musuh2 politiknya.
Apabila Anwar dipecat dari Umno dan kerajaan, beliau membawa
obor reformasi dan perjuangan menegakkan keadilan merentasi semua kaum dan
agama. Dari seorang yang dulunya disokong oleh majoriti Melayu, nama Anwar mula
bermain di bibir kaum2 bukan melayu kerana mereka melihat Anwar berjaya membawa
dakwah Islam yang sebenar iaitu tidak bersikap "Asabiyyah" yang
diharamkan oleh Islam.
Sayyid Qutb berkata, “Penciptaan manusia berbagai bangsa dan
suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan
bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan
kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan
perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan
keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu
nilai dalam timbangan Allah.
Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai
dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah
ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Al-Hujurât: 13)
Pendekatan ini kemudiannya Anwar dituduh liberal, anti Melayu,
pro Dap dan komunis, ejen Amerika dan Yahudi dan bermacam tuduhan lagi yang
tidak masuk akal. Terfikirkah kita di mana lojiknya dari seorang yang suatu
ketika di label 'pelampau Islam', tiba2 kini digelar "liberal dan anti
Islam"? Ini semua propaganda yang dimainkan oleh musuh2 politik beliau
yang tidak mahu Anwar mengubah landskap politik tanahair yang sinonim dengan
perkauman dan agama sempit.
Parti Keadilan yang beliau sendiri tubuhkan adalah sebuah parti
yang terdiri dari berbilang kaum dan agama, namun terasnya adalah melayu Islam.
Perlembagaan parti ini sendiri membuktikan parti Keadilan tidak pernah
bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan khususnya di dalam kepentingan
Islam sebagai agama resmi, bahasa kebangsaan dan hak2 keistimewaan orang2
Melayu. Parti Keadilan tidak pernah mencatatkan rekod berseteru dan menentang
institusi raja2 melayu seperti beberapa parti lain yang pernah bermusuh dengan
raja2 melayu. Parti Keadilan tidak pernah punyai rekod mempergunakan fahaman
agama sempit sehingga tercetusnya isu kafir mengkafir atau pergaduhan dan
pembunuhan akibat fahaman agama seperti parti lain.
Apa lagi yang boleh mereka tuduh terhadap Anwar Ibrahim? Anwar
sukar untuk naik ke puncak kuasa politik di dalam negara ini hanyalah kerana
Anwar tidak akan berkompromi di dalam isu2 rasuah. Hingga hari ini, disaat
ramai pimpinan sibuk buka 'kaunter jual beli' ahli-ahli Parlimen untuk
mendapatkan sokongan menjadi PM, Anwar hanya berbekalkan modal "membawa
keadilan, menentang kezaliman dan tolak rasuah". Barangsiapa yang mahu
'membeli' apa yang Anwar tawarkan ini, ayuh!!
Sekali lagi Anwar Ibrahim masuk ke gelanggang berbekalkan islah
yang mahu dibawanya. Tiada 'scheme of things" yang ditawarkan. Biarlah
Allah tentukan nasibnya. Kita sanggup jadi pengikut Anwar Ibrahim selama mana
pun selagi Anwar berpegang dengan prinsip ini. Kita sanggup jadi Pembangkang
selama mana pun kerana itu lebih baik dan mulia dari menjadi kerajaan yang
dibentuk melalui rasuah atau "scheme of things". Terbukti kerajaan
yang dibentuk cara jijik ini tidak akan bertahan lama.
WFAUZDIN NS