KPM, KPT perlu bentang situasi pendidikan di Parlimen – Dr. Maszlee. jangan main hentam saja nak buka sekolah.....

 The Chairman of Untuk Malaysia, Dr. Maszlee Malik at a news conference of an education movement #UntukMalaysia at the Perdana Lakeview, Cyberjaya. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 11 NOVEMBER 2020 PKR Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Rakyat telah hilang keyakinan kepada kerajaan kerana Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ketika ini dilihat hilang arah serta hala tuju dalam menguruskan sistem pendidikan negara.

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) dalam kenyataan berkata, ini berpunca daripada tiadanya pembentangan isu dan permasalahan berbangkit dari dua kementerian berkenaan pada sidang Parlimen 26 Julai ini.

Menurut Pengerusinya, Dr. Maszlee Malik, tindakan yang diambil kerajaan itu akan menguatkan lagi pandangan negatif rakyat terhadap KPM dan KPT.

“Kita mengambil maklum Persidangan Khas Parlimen bermula Isnin ini sebagaimana notis atur mesyuarat yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat.

“JKPPH amat dukacita kerana pembentangan dalam bentuk penerangan Menteri mengenai perancangan kerajaan terkait dengan Program pencegahan Covid-19, Program Vaksinasi, Darurat, dan Pelan Pemulihan Negara sahaja yang dijadualkan.

“Dalam tempoh lima hari persidangan khas ini, tidak ada pembentangan mahupun perbahasan berkaitan keadaan pendidikan negara di bawah KPM dan KPT,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut ditandatangani Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Tampin, Datuk Dr. Hasan Bahrom; Kulai, Teo Nie Ching; Sekijang, Natrah Ismail; Nukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; dan Tangga Batu, Rusnah Aluai.

Jelas Dr. Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, sidang itu penting untuk rakyat mengetahui perancangan kerajaan berhubung isu pendidikan melalui pembentangan situasi pendidikan negara dan perancangan yang telah dirangka oleh KPM dan KPT.

Beliau berkata, isu pendidikan negara sama ada melibatkan sekolah mahupun universiti di kala wabak Covid-19 sama pentingnya dengan kesihatan, keselamatan dan ekonomi serta harus diangkat sebagai agenda dalam persidangan khas itu.

Sehubungan itu, katanya, JKPPH menuntut agar Persidangan Khas Parlimen itu memasukkan pembentangan perancangan KPM dan KPT sebagai antara agenda mesyuarat.

“Ahli Parlimen perlu diberikan ruang untuk bertanya, berbahas dan memberikan pandangan terhadap perancangan yang telah dibentangkan oleh KPM dan KPT bagi menghormati peranan Parlimen sebagai badan semak imbang tertinggi negara,” ujarnya. – MG