KUALA LUMPUR – Rakyat telah hilang
keyakinan kepada kerajaan kerana Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian
Pengajian Tinggi (KPT) ketika ini dilihat hilang arah serta hala tuju dalam
menguruskan sistem pendidikan negara.
Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) dalam kenyataan
berkata, ini berpunca daripada tiadanya pembentangan isu dan permasalahan
berbangkit dari dua kementerian berkenaan pada sidang Parlimen 26 Julai ini.
Menurut Pengerusinya, Dr. Maszlee Malik,
tindakan yang diambil kerajaan itu akan menguatkan lagi pandangan negatif
rakyat terhadap KPM dan KPT.
“Kita mengambil maklum Persidangan Khas Parlimen bermula Isnin ini
sebagaimana notis atur mesyuarat yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat.
“JKPPH amat dukacita kerana pembentangan dalam bentuk penerangan
Menteri mengenai perancangan kerajaan terkait dengan Program pencegahan
Covid-19, Program Vaksinasi, Darurat, dan Pelan Pemulihan Negara sahaja yang
dijadualkan.
“Dalam tempoh lima hari persidangan khas
ini, tidak ada pembentangan mahupun perbahasan berkaitan keadaan pendidikan
negara di bawah KPM dan KPT,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu turut ditandatangani Ahli Parlimen Setiawangsa,
Nik Nazmi Nik Ahmad; Tampin, Datuk Dr. Hasan Bahrom; Kulai, Teo Nie Ching;
Sekijang, Natrah Ismail; Nukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; dan Tangga
Batu, Rusnah Aluai.
Jelas Dr. Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam,
sidang itu penting untuk rakyat mengetahui perancangan kerajaan berhubung isu
pendidikan melalui pembentangan situasi pendidikan negara dan perancangan yang
telah dirangka oleh KPM dan KPT.
Beliau berkata, isu pendidikan negara
sama ada melibatkan sekolah mahupun universiti di kala wabak Covid-19 sama
pentingnya dengan kesihatan, keselamatan dan ekonomi serta harus diangkat
sebagai agenda dalam persidangan khas itu.
Sehubungan itu, katanya, JKPPH menuntut agar Persidangan Khas
Parlimen itu memasukkan pembentangan perancangan KPM dan KPT sebagai antara
agenda mesyuarat.
“Ahli Parlimen perlu diberikan ruang untuk bertanya, berbahas dan memberikan pandangan terhadap perancangan yang telah dibentangkan oleh KPM dan KPT bagi menghormati peranan Parlimen sebagai badan semak imbang tertinggi negara,” ujarnya. – MG