By Manzaidi Mohd Amin - 21 July 2021
KUALA LUMPUR – “Apabila saya tegur dan
kritik, sepatutnya Menteri Pendidikan jawab, bukan guna cybertrooper untuk
menyerang saya,” kata bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim.
Katanya, beliau ada menegur Senator Datuk Radzi Jidin supaya
nyatakan apakah silibus baharu bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) yang dimansuhkan mulai tahun ini.
Selain itu, beliau juga mempersoalkan
kenapa lembab sangat untuk vaksinasikan guru, kakitangan sekolah dan pelajar
supaya mereka mempunyai imun dan dapat belajar secara bersemuka.
Zaid juga turut bertanya 150,000 komputer riba yang dijanjikan
setahun lalu, tetapi belum diedar kepada keluarga yang memerlukan.
“Saya ada kritik dan tegurnya pasal beberapa isu yang dianggap
gagal ditangani Menteri Pelajaran itu, tetapi reaksi dari pejabatnya dan
penyokong siber beliau ke atas saya agak panas.
“Malah, Faisal Ismail Aziz dan
kawan-kawannya mempersoalkan saya, katanya seorang bekas Menteri yang tidak
melakukan apa-apa pun.
“Serangan peribadi terhadap saya tidak menguntungkan Radzi. Saya
bukan nak bertanding di Ketereh ataupun di Putrajaya. Saya hanya mengemukakan
pertanyaan orang ramai. Jalan paling baik ialah memberi penjelasan,” katanya
menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Menurut bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu, beliau tidak mahu menteri yang ada pangkat tinggi dalam parti, tetapi tidak mampu menjalankan tugas dengan baik dan mengapa guru tidak dapat vaksin sepenuhnya?
Bukankah, ujarnya, guru dan kakitangan
sekolah perlu divaksin sepenuhnya secepat mungkin supaya pelajar dan murid
dapat kembali ke sekolah?
“Mengapa janji hendak membuka sekolah secara berperingkat?
Adakah kerana hendak menutup kelemahan perancangan?
“Kita tahu, soal pembelajaran melalui internet telah menyusahkan
anak-anak dan ibu bapa, tetapi Menteri belum ada penyelesaiannya dan cara
terbaik ialah buka sekolah supaya pelajar dapat bersemuka dengan guru,”
katanya.
Mengenai UPSR, kata Zaid, memang mudah bagi menteri untuk
membuat keputusan memansuhkan peperiksaan itu, tetapi apa gantinya dan siapakah
yang akan membuat keputusan di mana dan kelas mana anak-anak akan ditempatkan
di sekolah menengah nanti.
Untuk masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pun perlu jalani
ujian dan peperiksaan untuk menentukan kebolehan pelajar yang memohon, tetapi
hendak masuk sekolah biasa tidak perlu kepada ujian.
Di negara lain, mereka tetap ada ujian atau checkpoint untuk
pastikan pelajar dapat dimasukkan ke kelas yang sesuai dan secocok dengan
kebolehan masing-masing.
“Tetapi di Malaysia, hanya Menteri Pelajaran yang tahu cara
penyelesaiannya. Orang lain dan pegawai kanan tidak perlu tahu.
“Malah, bulan Julai akan berakhir tidak lama lagi, selepas itu
kira-kira 19,000 guru dan ahli akademik baharu dari projek luar biasa akan
diserapkan ke jawatan sebagai pendidik.
“Mereka ini direkrut sebagai pendidik dan guru tanpa mempunyai
apa-apa pengalaman atau pengetahuan dalam hal pendidikan. Inilah kebolehan luar
biasa Menteri Pelajaran kita,” sindir beliau.
Zaid menjelaskan, di negara lain hendak menjadi guru dan
pendidik mesti menjalani kursus serta kelayakan yang mantap dan kemas, bahkan,
pengalaman perlu ada dan ilmu yang sesuai mesti ada untuk pelajar mendapat
manfaat.