Seorang anggota Majlis Kerja
Tertinggi Umno mendakwa kumpulan yang digelar kluster menteri ini membuat
keputusan songsang dan menjadi power broker dan menjual parti.
Sehubungan
itu, Datuk Dr Puad Zarkashi mengingatkan ahli Umno agar berdiri teguh dengan
pimpinan dan parti mereka dan jangan terpengaruh dengan mereka.
“Orang
kata Umno pecah. Umno dikatakan pecah bukan kerana pemilihan parti. Umno nampak
pecah kerana ada yang menentang keputusan parti.
“Mereka sanggup jadi power
broker, jual parti dan berunding tanpa restu parti. Puncanya, untuk kekal
jawatan dan takut tindakan
“Terbaru
MKT putus tarik sokongan kepada Perdana Menteri. Tetapi kluster Menteri pula
buat keputusan songsang. Mereka sokong Perdana Menteri,” kata beliau menerusi
Facebooknya.
Menurut
bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan BN itu, “Rakyat dijadikan
alasan. Pandemik dijadikan alasan. Perpecahan Melayu dijadikan alasan. Dan
peruntukan kawasan juga jadi alasan.”
Bagi
beliau, Umno perlu tegas melaksanakan keputusan mereka jika mahu perkara ini
berakhir.
“Tetapi
apakah tidak ada titik noktah kepada gejala ini. Umno perlu tegas. Tinggal 10,
sepulohlah. Tinggal 3, tigalah,” kata beliau merujuk kepada dakwaan kononnya
hanya beberapa orang sahaja pemimpin Umno yang mempertahankan keputusan parti
itu yang memutuskan keluar dari menyokong Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.
Bagi beliau Umno tidak akan
berpecah jika melaksanakan keputusan itu.
“Umno
Sabah contoh terbaik. 21 Ketua Bahagian lari lintang pukang tinggalkan parti.
Hanya tiga yang istiqomah. Iaitu Bung Mokhtar, Ramie Unggi dan Yaakub Khan.
“Mereka
yang lari itu bukan kecil anak. 9 ADUN, 5 ahli Parlimen dan dua orang Senator.
Bukan calang calang. Umno umpama habis madu sepah dibuang.
“Tetapi
ada Umno Sabah tersungkur? Ahli dan pemimpin bawahan tidak lari. Timbalan,
Naib, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda tampil menggalas tugas Ketua Bahagian yang
lari.
“Sebab
itu di PRN Sabah, walaupun disabotaj dan ditikam dari belakang, Umno menang 14
kerusi berbanding PPBM 11 kerusi. PPBM dapat Ketua Menteri kerana PN ada 21
kerusi,” kata beliau.
Justeru
itu, katanya, Umno tidak boleh apologatik.
“Konon
takut perpecahan. Disiplin tetap disiplin. Langgar disiplin ada musibahnya.
Tiada kompromi dalam bab tata tertib.
“Tinggal tiga, tigalah. Ahli tidak lari. Di sebelah sana nanti akan sampai giliran mereka, habis madu sepah dibuang,” tegas beliau.
MD