Sudah tahun 2021 tapi masih bergelumang dengan fitnah


makan

Gambar terbaharu Lim Guan Eng dan Ahmad Zahid Hamidi yang ditularkan.



KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas pihak-pihak tertentu yang terus ‘menyerang’ beliau dengan menggunakan gambarnya duduk makan bersama Lim Guan Eng pula.

Presiden UMNO itu berkata, fitnah dengan mereka tidak dapat dipisahkan.

Katanya, walaupun sudah tahun 2021, pihak-pihak tertentu itu masih bergelumang dengan fitnah.

”Kita berhujah tentang fakta, mereka cekal dengan tipu daya,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, katanya, golongan yang memfitnah itu tidak menyedari bahawa gambar tersebut membuktikan sebaliknya – membuktikan tentang pentadbiran kerajaan UMNO/Barisan Nasional yang bertanggungjawab.

Gambar itu membuktikan kerajaan UMNO/BN tidak bermain politik dalam mentadbir negara tatkala rakyat dihimpit kesusahan dan penderitaan.

Ahmad Zahid menjelaskan gambar itu diambil ketika Pulau Pinang dilanda banjir besar pada 2017 dan Guan Eng yang menjadi ketua menteri ketika itu telah menghubungi jam 3 pagi untuk minta bantuan Kerajaan Pusat selepas kerajaan negeri tidak berupaya menangani banjir yang berlaku.

”Kerajaan UMNO/BN serta-merta hantar segala bantuan dan saya sebagai TPM (timbalan perdana menteri) turun padang. ‘Begitu caranya jadi kerajaan Malaysia. Jaga rakyat dan negara sepenuh hati.

”Bukan menutup pintu Parlimen dan menggantung demokrasi. Bukan menyalahgunakan Ordinan Darurat untuk kepentingan diri.

”Bukan memandang mudah bantuan dan tuntutan rakyat. Bukan terus dalam sindrom penafian tentang ekonomi yang merundum.

”Bukan memperkotak-katik titah Agong dan Raja-Raja Pemerintah,” tegas beliau lagi.

Dakwanya lagi, rakyat sedang menderita dan negara menuju kegagalan namun mereka seolah-olah tidak peduli semua ini.

Mereka terus bermain politik tetapi UMNO pula dituduh bermain politik.

”Kita pukul rata sahaja tentang mereka ini sebab mereka sebenarnya masih sekapal,” ujarnya. – MG