Gambar terbaharu Lim Guan Eng dan Ahmad Zahid Hamidi yang ditularkan.
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas
pihak-pihak tertentu yang terus ‘menyerang’ beliau dengan menggunakan gambarnya
duduk makan bersama Lim Guan Eng pula.
Presiden UMNO itu berkata, fitnah dengan mereka tidak dapat
dipisahkan.
Katanya, walaupun sudah tahun 2021,
pihak-pihak tertentu itu masih bergelumang dengan fitnah.
”Kita berhujah tentang fakta, mereka cekal dengan tipu daya,”
katanya dalam hantaran di Facebook.
Bagaimanapun, katanya, golongan yang memfitnah itu tidak
menyedari bahawa gambar tersebut membuktikan sebaliknya – membuktikan tentang
pentadbiran kerajaan UMNO/Barisan Nasional yang bertanggungjawab.
Gambar itu membuktikan kerajaan UMNO/BN
tidak bermain politik dalam mentadbir negara tatkala rakyat dihimpit kesusahan
dan penderitaan.
Ahmad Zahid menjelaskan gambar itu diambil ketika Pulau Pinang
dilanda banjir besar pada 2017 dan Guan Eng yang menjadi ketua menteri ketika
itu telah menghubungi jam 3 pagi untuk minta bantuan Kerajaan Pusat selepas
kerajaan negeri tidak berupaya menangani banjir yang berlaku.
”Kerajaan UMNO/BN serta-merta hantar segala bantuan dan saya
sebagai TPM (timbalan perdana menteri) turun padang. ‘Begitu caranya jadi
kerajaan Malaysia. Jaga rakyat dan negara sepenuh hati.
”Bukan menutup pintu Parlimen dan
menggantung demokrasi. Bukan menyalahgunakan Ordinan Darurat untuk kepentingan
diri.
”Bukan memandang mudah bantuan dan tuntutan rakyat. Bukan terus
dalam sindrom penafian tentang ekonomi yang merundum.
”Bukan memperkotak-katik titah Agong dan Raja-Raja Pemerintah,”
tegas beliau lagi.
Dakwanya lagi, rakyat sedang menderita dan negara menuju
kegagalan namun mereka seolah-olah tidak peduli semua ini.
Mereka terus bermain politik tetapi UMNO pula dituduh bermain
politik.
”Kita pukul rata sahaja tentang mereka ini sebab mereka sebenarnya masih sekapal,” ujarnya. – MG