Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa tidak menderhakai titah
Yang di-Pertuan Agong dengan membuka Parlimen hanya bagi mendengar taklimat
daripada para menteri.
Majli Presiden Pakatan Harapan (PH) memberi amaran agar kerajaan
PN berhenti mencabul institusi demokrasi negara yang bertentangan dengan
Perlembagaan Persekutuan.
"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun lalu
telah menzahirkan titah pandangan sidang Parlimen perlu diadakan segera supaya
Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan
Pemulihan Negara dan perbelanjaan berkaitan pandemik Covid-19.
"Seri Paduka Baginda menitahkan pandangan yang sama pada 24
Februari dan 29 Jun 2021.
"Titah pandangan Seri Paduka Baginda senada dengan aspirasi
rakyat yang mahu pengakhiran kemelut wabak pandemik Covid-19 dan kemelesetan
ekonomi negara ketika ini.
"Demi menjunjung titah pandangan Tuanku ini, Ketua
Pembangkang telah pada 12 Julai menghantar usul kepada Yang Dipertua Dewan
Rakyat untuk membahaskan perkara-perkara yang digesa Tuanku.
"Tidak ada usul Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri
dibentangkan oleh PH. Pembangkang mahu tumpuan diberikan kepada masalah rakyat
ekoran krisis Covid-19 dan kemelesetan ekonomi," kata Majlis Presiden yang
menggambarkan tiada apa yang perlu dikhuatirkan oleh kerajaan PN sekiranya sesi
soal jawab Dewan Rakyat dibenarkan.
Bagaimanapun Majlis Presiden PH jelas kecewa dengan kenyataan
media Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 15 Julai lalu menyatakan persidangan
Dewan Rakyat pada 26 Julai hingga 2 Ogos hanyalah satu persidangan khas
mendengar penerangan atau ceramah Menteri-Menteri tanpa sebarang perbahasan
oleh Ahli-ahli Parlimen.
"Oleh itu, PH mendesak Yang Dipertua Dewan Rakyat dan
kerajaan PN agar tidak derhaka terhadap titah pandangan Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong dan terus membuka ruang perbahasan bagi membolehkan
Parlimen berfungsi semula secara normal dan Ahli-ahli Dewan Rakyat menunaikan
tanggungjawab murni mereka membela hak rakyat," kata mereka lagi.
Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.