Baik hentikan projek reklamasi mega ini dan fikir alternatif lestari yang lain bagi memastikan keselamatan makanan serta sistem pengangkutan yang lebih mampan
Aliran mendukung desakan bagi membatalkan projek Reklamasi Pulau
Pinang Selatan seluas 4,500 ekar itu.
Sejak beberapa minggu yang lalu, kelompok masyarakat sivil serta
yang lain menyatakan dukungan terhadap komen oleh Nurul Izzah Anwar bagi
membatalkan projek ini. Beliau mengkritik keperluan bagi projek kontroversi
ini, apatah lagi saat berdepan dengan pandemik serta ketidaktentuan keadaan
ekonomi sekarang.
Ahli Parlimen Permatang Pauh ini memetik penilaian impak alam
sekitar bagi projek ini yang menyatakan bahawa ianya akan mengakibatkan
kehilangan alam sekitar secara kekal: “Kerosakan alam yang kekal serta kesan
yang berlarutan turut akan dialami oleh ekosistem dataran lumpur, pembiakan
ikan, pendaratan penyu, serta batu karang di Pulau Rimau. Kerosakan berkekalan
akan memberikan impak negatif yang signifikan kepada sumber perikanan, nelayan
serta pengeluaran dan keselamatan makan negara.”
Kesan kepada keselamatan makanan negara sahaja merupakan sebuah
alasan yang kukuh bagi membatalkan projek.
Kerosakan diakibatkan oleh reklamasi dan perlombongan pasir akan
menyebabkan “kerosakan yang tidak dapat diganti dan dibaiki semula” terhadap
kehidupan lebih dari 6,000 warga nelayan, bukan saja di Pulau Pinang, malahan
di luarnya juga.
Seperti yang dinyatakan oleh NGO serta beberapa yang lain, Nurul
Izzah juga menyatakan bahawa pelan reklamasi awal sudah berubah banyak dari
pelan utama pengangkutan Pulau Pinang yang asal. Walaupun beliau serta rakannya
di dalam parti (PKR) pada awalnya menyokong usaha ke arah pengangkutan awam
yang lebih baik, mereka “mula timbul keraguan apabila PTMP berubah untuk
memasukkan pembinaan lebuhraya mega melintas bukit serta sungai, LRT, monorel,
teksi udara (skycab) serta kawasan reklamasi”.
Kerajaan negeri, memetik kajian oleh PricewaterhouseCoopers,
sekarang menyatakan bahawa kawasan yang direklamasi – dan akan dijual kepada
pihak pemaju perumahan – akan mendapat keuntungan ekonomi bagi negeri bagi
jangka masa panjang: RM70bn di dalam bentuk pelaburan asing langsung yang
membuka ruang kepada 300,000 kerja di dalam tempoh 30 tahun.
Support
the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:
·
Sign up for Aliran's free daily email
updates or weekly newsletters or both
·
Make a one-off
donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
·
Schedule an auto donation to Aliran
every month or every quarter
· Become an Aliran member
Namun, ianya tidak jelas jika kajian ini dijalankan sebelum atau
selepas pandemik bermula dan bagaimana angka ini dicapai. Pandemik Covid,
seperti yang kita tahu, mengganggu-gugat ekonomi di peringkat global, yang
sudah pun mengakibatkan kesenjangan ekonomi dan kekayaan yang meruncing. Keadaan
ekonomi yang tidak menentu sekarang cukup sukar untuk dijangka bukan saja tiga
tahun ke hadapan, apatah lagi tiga dekad nanti.
Berbanding menggunakan pengindustrian sebagai dalih bagi
reklamasi tanah, kerajaan negeri sepatutnya memikirkan alternatif pembangunan
lestari di tanah besar Pulau Pinang. Ia juga dapat membina ribuan kerja baru
dengan memilih sistem pengangkutan ke seluruh negeri dengan mengutamakan
pengangkutan mampan seperti bas, teksi air, feri serta tram tanpa landasan –
serta pembinaan dan penyeliaan infrastuktur bagi mendukung sistem ini.
Melihat kepada realiti perubahan iklim, kerajaan negeri
sepatutnya boleh melakukan apa yang terdaya bagi mengekalkan alam sekitar,
termasuklah biodiversiti laut, berbanding dengan mengganggu keselamatan makanan
bagi mengejar pembangunan yang tidak lestari. Kerajaan negeri juga patut
menghormati cabaran mahkamah oleh masyarakat nelayan bagi menolak penerimaan
penilaian impak alam sekitar. Cabaran mahkamah ini, yang dijadualkan akan
didengarkan nanti, diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Desakan untuk membatalkan projek tidak lestari ini
(#PenangTolakTambak) semakin mendapat sambutan dengan ahli politik, akademik
serta pelbagai kelompok masyarakat sivil mula menyatakan kebimbangan. Petisyen
atas talian menolak projek ini sudah mengutip 117,000 tandatangan sehingga kini. Sebuah lagi petisyen
bagi menyelamatkan penyu laut spesis zaitun ridley serta kehidupan nelayan yang
akan terkesan dengan reklamasi pula sudah berjaya mendapat 246,000 tandatangan.
Inilah waktunya untuk membatalkan terus projek reklamasi mega
dan memikirkan alternatif lestari yang lain bagi bagi memastikan keselamatan
makanan serta sistem pengangkutan yang lebih mampan di dalam dunia pasca-Covid.
READ MORE: Istimewa Kawasan Selatan
Jawatankuasa eksekutif Aliran
6 Jun 2021