Vaksin kurang dos: Aktifkan jawatankuasa Parlimen lakukan siasatan

 



POSTED BY AMIR WRLR


Kejadian beberapa penerima vaksin AstraZeneca mengadu disuntik dengan dos berkurangan sewajarrnya disiasat oleh satu jawatankuasa bebas dan boleh melapor ke Parlimen.


Pengarah Biro Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, kenyataan Menteri Kesihatan baru-baru ini untuk melakukan siasatan peringkat kementerian adalah tidak mencukupi.


"Parlimen khususnya Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu memastikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) boleh berfungsi semula serta merta walaupun Parlimen belum bersidang.


"YB Menteri Kesihatan serta semua yang terlibat di dalam kontroversi pemberian vaksin AstraZeneca pada dos kurang dari yang sepatutnya wajib dipanggil untuk memberi penjelasan.


"Adalah tidak memadai sekiranya hanya siasatan dalaman dilakukan. Siasatan tersebut mesti bersifat bebas dengan pakar-pakar dari luar serta rentas parti perlu dipanggil untuk memastikan tidak berlaku sebarang perkara mengelak pertanggungjawaban.


"Jika tidak pun, sebaiknya siasatan tidak dilakukan dengan melibatkan mereka yang terlibat secara terus dalam program pemberian vaksin AstraZeneca," kata Fahmi dalam satu kenyataan.


Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga membariskan beberapa persoalan yang perlu dijawab dalam siastan yang bakal dijalankan iaitu: Berapakah jumlah penerima vaksin yang telah terkesan akibat pemberian dos yang kurang?; Berapakah jumlah penyuntik yang telah memberi dos AstraZeneca yang salah?; Mengapakah penyuntik-penyuntik tersebut memberikan dos AstraZeneca yang salah?


Juga pertanyaan, Apakah yang telah dan akan dilakukan oleh pihak bertanggungjawab untuk mengenalpasti serta menghubungi semua penerima vaksin yang telah diberi dos salah?; Berapa ramai yang telah diberi dos tambahan untuk melengkapkan dos sebenar?; Siapa yang akan dipertanggungjawab di atas kontroversi ini dan mengapa sehingga kini tiada permohonan maaf dari mana-mana pihak, terutama Menteri Kesihatan kepada semua penerima vaksin AstraZeneca yang telah diberi dos salah?

"Laporan siasatan ini perlu diumumkan agar rakyat Malaysia terutama pembayar cukai, yang membolehkan pembelian serta pemberian vaksin ini berlaku dapat memahami apa yang telah terjadi serta cara terbaik untuk mengelak ianya dari berulang," kata Fahmi lagi.