Sinar Harian
Mei 26 , 2021
Pesawat Boeing 737-400
milik syarikat IAI-Elta yang didakwa sebagai pesawat pengintip Israel. -Gambar
Sinar Harian
SHAH
ALAM : Kehadiran pesawat pengintip
prototaip Israel yang dilaporkan sedang menjalankan penerbangan ujian merentas
ruang udara Putrajaya sebelum mendarat di Singapura mengundang pelbagai tanda
tanya.
Penganalisis
pertahanan Zaki Salleh berkata walaupun pada dasarnya ia adalah penerbangan
biasa tetapi kehadiran pesawat tersebut yang dilengkapi dengan perkakasan
perisikan elektronik menarik perhatian ramai.
Menurut
beliau, berkemungkinan pesawat berkenaan sedang melakukan ujian sistem
terbaharu dan penerbangan jarak jauh yang dilaksanakan adalah bagi melihat
keberkesanan perkakas yang diuji.
“Sekiranya benar sepertimana dilaporkan,
pesawat Boeing 732-400 dengan bernombor pendaftaran 4X-AOO milik syarikat
IAI-Elta merupakan pesawat perisikan elektronik.
“Pesawat ini digunakan sebagai platform ujian
peralatan radar dan elektronik.
"Ia direka untuk menampung sistem
perisikan semboyan rondaan maritim, perisikan imej, sistem amaran awal udara
(AEW) dan sistem perlindungan misil pesawat komersial,” katanya ketika
dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Jelas Zaki, dengan pelbagai sistem penderiaan
dan sensor yang amat sensitif, maka sebab itu kehadiran pesawat tersebut di
Singapura menarik perhatian selain boleh menimbulkan kemusykilan berhubung
tujuannya.
Sebelum ini, sebuah portal media melaporkan
sebuah pesawat pengintip prototaip Israel dilaporkan sedang menjalankan penerbangan
ujian di Singapura.
Ujian penerbangan selama 4 jam itu telah
melibatkan sebuah pesawat Boeing 737-400 yang bernombor pendaftaran 4X-AOO
milik syarikat IAI-Elta.