Tarikh Piraum tidak penting bentuk kerjasama mustahak

 

MSO


APA yang dinanti dan ditunggu-tunggu oleh warga politik kini adalah bilakah (Piraum) pilihan raya ke-15 akan diadakan? Penantian dan persediaan untuk berpilihan raya itu sangat afdal kepada parti-parti politik, khasnya bagi oposisi daripada mengharapkan untuk melihat kerajaan Perikatan Nasional(PN) dijatuhkan dalam parlimen. Harapan itu sudah jadi seperti menanti bulan jatuh ke riba yang tidak akan muncul. 

Bulan jatuh ke ribaan hanya sebuah mitos yang tidak akan pernah menjelma. Ia hanya impian si pungguk biru yang lara kerinduan. Begitulah keadaan dengan harapan untuk melihat kerajaan PN akan tumbang dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hilang akan menjelma kembali. Ia sudah jadi sebuah mitos yang terkambus dalam permainan angka.

Muhyiddin Yassin dan geng si Kitolnya tidak mendiam diri daripada berusaha untuk mengukuhkan kedudukan mereka dan mengekalkan kerajaan "curitokrasi", (PN) sehingga habis penggal parlimen ke-14. Itu sudah semestinya dilakukan. Dan itulah sebaik-baik tindakan. Muhyiddin tidak akan kompromi dan tidak terjejas dengan sumpah seranah dan caci maki atas perbuatannya. Malahan Muhyiddin terus akan menebalkan mukanya membuat pembedahan plastik untuk menampalkan kulit seladang ke mukanya. 

Saya yakin parlimen tidak akan dibuka meskipun sudah ada pandangan kononnya adil dan bebas daripada Yang diPertuan Agong. Parlimen akan berakhir dengan pembubaran? Bagi saya pandangan Agong berdasarkan kuasanya mengikut Perlembagaan itu hanya sebagai pencerahan, pemanis mulut sahaja. Agong sebagai Raja Berperlembagaan tetap terikat dengan kuasa Eksekutif. 

Benteng mempertahankan diri.

Covid dan pengisytiharan darurat pada 11 Januari 2021 telah digunakan sebagai benteng untuk mempertahankan diri dan kerajaannya. Tampaknya Muhyiddin berjaya menggunakan kedua kuasa dan peristiwa itu. Dan Muhyiddin sudah mengutip kedua-dua labanya sekaligus. Dua kuasa dan keadaan (alasan) itulah digunakan oleh Muhyiddin hari ini, sehingga beliau merasakan selamat untuk ke luar negara, ke Saudi. 

Justeru adalah wajar dan tepat pula kalau pembangkang tidak lagi terus bermimpi untuk mengambil alih kerajaan dengan cara membalas dendam merampas kuasa. Walaupun sebahagian rakyat menanti bahkan berdoa, tetapi elok dilupakan sahaja rancangan itu. Tumpulah kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-15. Lawan dan jatuhkan PN dalam Piraum. Gelanggang sudah dibuka, tetapi bila?

Tidak ada siapa yang dapat menentu bila parlimen dibubarkan untuk membolehkan Piraum diadakan. Tarikhnya ada dalam genggam Muhyiddin. Beliau diduga akan bertindak sesudah pihak PN bersiap sedia. Masih ada beberapa perkara yang sedang cuba dibereskan. Antara indikator hampirnya Piraum apabila pemimpin Umno dijatuhkan hukuman. Apabila mereka sudah dijatuhi hukuman, saat itulah waktu terbaik untuk Muhyiddin menghadap Agong memohon parlimen dibubarkan. 

Selainnya, setelah mencapai kerjasama dan pembahagian kerusi dalam PN selesai. Ini agak sukar tetapi ia tidak sesulit seperti menanti para pemimpin Umno dihukum atau disumbat ke dalam penjara. Proses untuk menghukum (vonis) pemimpin Umno sedang berjalan lancar. Itu keadaan atau pun isyarat untuk meramalkan pilihan raya. Walaupun Muhyiddin mengatakan sebaik darurat selesai (1 Ogos) saya tidak mempercayai seratus peratus kerana politik itu penuh dengan "ilap", kekhilafan dan penipuan.

Saya meletakkan sekiranya ia diadakan pada tahun ini, waktunya antara bulan Julai hingga September. 

Sementara itu baik bagi oposisi maupun parti memerintah masih ada beberapa hal yang belum selesai dan masih ada ruang untuk memperkemaskannya. Bagaimana PN dengan kedudukannya sebagai kerajaan mempunyai advantage mempunyai peluang lebih 50%. Sebab itu sesetengah pemimpin PH mahukan kerajaan dikembali bagi dijadikan bekalan atau modal menghadapi pilihan raya. Pemeriksa  politik tetap percaya parti memerintah lebih berpeluang untuk menang pilihan raya. 

Kepada oposisi (PH) apabila harapan itu sudah tidak ada, PH tidak boleh mengharapkan kepada kelebihan yang sudah menjadi milik PN itu. Perlu ada ikhtiar dan gerakan lain dilakukan. PH atau pembangkang perlu mempunyai akal yang luas dan strategi berbagai untuk mendapat semula kerajaan yang hilang itu. Perlu bangkit ke hadapan (move forward). Kerajaan PH sudah jadi semacam Haikal Sulaiman yang ghaib tetapi tahu di mana lokasinya.  

Dalam hal ini antara perlu disegerakan merangka kerjasama semantap mungkin sesama oposisi. Pertamanya PH kena padukan dahulu pakatan dengan tiga buah parti, Keadilan, DAP dan Amanah. Jangan ada lagi angan-angan untuk bergantung kepada OT95 (Mahathir Mohamad) dengan parti inkubator, Pejuang. Buanglah sejauh mungkin OT95 dan jangan jadikan dia sebagai tali penyelamat lagi. Biarkan orang tua itu mereput di hujung semak samun dan hanyut ke tanjung. Orang Amanah khasnya harus bersih dari badi OT95 yang melekat kepada diri mereka. 

Ketiga-tiga parti itu perlu mengambil sikap dan semangat seperti semasa dalam Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini bergerak tanpa OT95. Semangat dibina dan dipuput semasa dalam PR dahulu perlu digemburkan. Ketika PR, pembangkang optimis akan menang dalam pilihan raya walaupun OT95 berada di luar, bahkan menjadi lawan. Bukankah PH (oposisi) sudah berjaya sedikit demi sedikit mengurangkan kuasa UBN bermula pada Piraum 1999 diikuti tahun 2008, 2013 kemudian sehingga akhirnya berjaya menumbangkan BN tahun 2018? Oposisi khasnya PH harus berbangga dengan pencapaian itu. 

Piraum 1999 Barisan Alternatif (BA) terdiri daripada Keadilan, DAP dan Pas memperolehi 40.21% undi dengan meraih 42 kerusi berbanding dengan BN mendapat 56.53% dan mendapat 148 kerusi. Dalam Pirauam 2004 dimana BA tanpa bersama DAP mendapat 24.1% undi dengan mendapat 8 kerusi, sementara DAP mendapat 9.9% undi dengan 12 kerusi. Sementara BN pula mendapat 63,9% undi dengan jumlah kerusi 198.

Dalam Piraum 2009 pembangkang ketika itu Pakatan Rakyat (PR) mendapat 49.4% dengan 82 kerusi sementara BN mendapat 50.5% undi dengan jumlah kerusi 142 kerusi. Ketika ini DAP kembali bersama pembangkang dalam PR. Dalam Piraum 2013 PR mendapat 50.57 peratus undi dengan jumlah kerusi 89 kerusi sementara BN walaupun mendapat peratus undi lebih rendah 47.38 % tetapi menang dengan mendapat sebanyak 140 kerusi. Pilihan raya ini jika peratus undi diambil kira pembangkang (PR) sudah pun boleh membentuk kerajaan.

Piraum 2018 akhirnya BN yang berada dalam pengaruh pasang surut akhirnya tumpas apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya mendapat 45.68% undi dengan meraih 113 kerusi sementara BN mendapat 35.39 % undi dengan memperolehi 79 kerusi. Untuk rekod dalam Piraum itu Pas bertanding bersendirian dengan mendapat 16.82% dengan jumlah kerusi 18. 

Jika dilihat kepada pencapaian pembangkang itu menunjukkan kecemerlangan oposisi meningkat dengan jelas walaupun sebelum penyertaan OT95 bersama saf pembangkang. Kita lupa sebenarnya Piraum 2018 kalau pun tanpa OT95 oposisi (PH) sudah pun berjaya membentuk kerajaan berdasarkan pencapaian oposisi sejak tahun 1999 itu? 

Ramai tersilap hitung, kononnya PH berjaya kerana bantuan OT95, sebenarnya OT95 yang menumpang pengaruh PH untuk mengecapi kemenangan dan menjadi perdana menteri kali kedua. Tanggapan ini perlu diperbetulkan. OT95 hanya berak di atas busut jantan cuma.  

Pendapat mengatakan oposisi tidak akan berjaya tanpa bantuan OT95 adalah karut semata-mata dan lahir dari jiwa mereka yang lemah dan inferiority complex. Pandangan itu wujud kerana mereka sudah disihirkan oleh OT95 untuk menampakan dirinya kuat. Kalau benar OT95 itu kuat, tentu kerajaan PH tidak akan tumbang Februari 2020 lampau sehingga kini semua meroyan. Bukankah kerajaan PH hilang sewaktu beliau jadi perdana menteri? Terimalah pandangan dan berfikir secara logik. OT95 sebatang pohon Jejawi dianggap keramat sudah tidak dapat menakut-nakutkan sesiapa lagi kecuali kanak-kanak dan bocah dan pemuda Becat.

Senario berbeza.

PH harus sedar bahawa senario kini sudah berbeza. Yang menjadi kerajaan kini bukan lagi UBN, Umno Barisan Nasional. Hegemoni Umno yang menggerunkan sudah pun tercabut. Yang ada kini hanya kerajaan PN yang terdiri daripada himpunan puak serpihan yang tidak bermoral dan kering integriti siasah terdiri daripada Bersatu dan Pas. Bersatu ditokok oleh oportunis-oportunis daripada Umno dan Keadilan. Ia disokong oleh 16 oportunis daripada Umno dan 11 daripada Keadilan. PN tidak ada kekuatan dan sokongan fundamental seperti mana BN.

Lantaran itu tidak perlu takut dan gerun dengan PN. PN boleh terburai bila-bila masa sahaja. Ia umpama sebuah bongkah yang bentuknya tidak serata diikat dengan tali yang lembut dan rapuh boleh relai bila-bila masa sahaja.

Kalau pun dalam PN yang boleh dilihat sebagai kuat dan ada pengaruh fundamental hanya Pas sahaja. Itupun terbatas kepada kawasan-kawasan tradisi Melayu yang warganya kebanyakannya mempunyai fikiran kolot dan konservatif agama. Golongan ini sesungguhnya tidak tersedar bahawa pintu Syurga telah lama ditukar dengan pintu Neraka oleh Pas. 

Anggapan bahawa PN mempunyai pengaruh hebat dan besar seperti BN adalah silap. PN dengan BN jauh bezanya. Perhati kepada struktur dan kelebaran organisasi (cawangan) sahaja, Umno memiliki cawangan di seluruh negara kecuali Sarawak. Keahlianya sahaja melebih 3 juta. Bahkan ahli Bersatu sendiri ada duplicated daripada ahli Umno.

Sebenarnya untuk meruntuh dan menafikan kerajaan PN tidak sukar, tidak sesulit sewaktu hendak menumbangkan kerajaan BN dahulu. Ada satu senjata yang dikira membantu. Yang jelas hari ini PN tidak mendapat sokongan Umno. Dengan hanya membentuk kekuatan bersama Pas dan beberapa parti-parti kecil lain, PN tidak ampuh sebagai sebuah koalisi mantap. Sokongan dan dukungan parti-parti di Sabah dan Sarawak pula tidak menjamin kekal setia dengan mereka. 

Umum tahu macam mana perdagangan politik berlaku di Sabah dan di Sarawak sejak lama dahulu. Asas pembentukan kerajaan Malaysia tetap bergantung kepada parti-parti di Semenanjung. Pun begitu ia tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Mana-mana parti atau gabungan menguasai kerusi di Semenanjung (168) ia tetapi menjadi kerajaan.  

Dalam catatan ini saya ingin memberi pencerahan dan mengongsi sedikit idea dengan Umno. Umno tidak boleh dilupuskan begitu saja. Umno adalah darah dan jiwa orang Melayu. Umno akan menjadi pembantu dan aset utama menjaminkan apakah PH atau oposisi berjaya atau tidak menumbangkan kerajaan PN. Walaupun kini Umno tidak kompat dan terpecah kepada tiga puak atau kluster tetapi Umno tetap menjadi kuasa penentu (king maker). 

Umum tahu Umno kini terbahagi kepada tidga puak atau kluster. Saya namakan kluster Umno sejati, (Umno S) Umno yang menjaga perut (Umno P) dan Umno yang sedia diperalatkan (Umno A). Umno S adalah mereka yang mahu mengekalkan kekuasaan dan memartabatkan sejarah perjuangan parti kebangsaan itu. Golongan atau Umno P adalah yang lebih mementingkan diri sendiri. Mereka apa disebut oleh Musa Hitam yang tidak ada prinsip dan idealisme perjuangan. Apa yang mereka utamakan perut mereka buncit.

Sementara yang ketiga yang sedia diperalatkan (Umno A) untuk kepentingan orang lain. Kluster ini paling jahat dan khianat. Jika dipadankan dengan golongan dikategorikan menurut istilah atau hukum agama mereka termasuk dalam golongan munafik. Pun terpecah kepada tiga kumpulan dan kluster, tetapi kluster Umno S masih berpengaruh. Ini terbukti apabila lebih 130 bahagian Umno di seluruh negara bersetuju agar Umno memutuskan hubungan dan menolak Bersatu dalam pilihan raya.  

Apa perlu disedari kumpulan pertama ini tidak mungkin dapat mengembalikan kerajaan UBN dan juga kegemilangannya. Tetapi keperluan kepada kumpulan ini adalah mengambil tanggungjawab menjaga Umno. Di sini tidak ada cara lain untuk menjamin Umno selamat, Umno perlu bantuan oposisi lain. Dalam konteks ini sokongan parti pembangkang asal, Keadilan dan DAP. Inilah energi tambahan atau formula bagaimana untuk Umno kembali ampuh. 

Hendak tidak hendak orang Umno harus rela dan bersedia menerima perubahan demi masa depan partinya. Pemikiran kolot dan jumud Umno selama ini harus disirnakan. Umno perlu bersikap fleksibel dan sedia menerima mana-mana pihak sahaja. Dinamika politik harus dihayati. Apa yang penting bagi Umno mendapat oksigen untuk hidup seribu tahun lagi. Kalau kebetulan balang oksigen itu ada kepada PH maka, terimalah.  

Tali hayat Umno kini bukan lagi Pas seperti dituduh dan diharapkan sebelum ini, tetapi Keadilan dan DAP. Pas sudah menjadi pengancam atau kawan tidak jujur kepada Umno apabila parti itu lebih obesessi kepada Bersatu kerana tergilakan kuasa. Piagam Muafakat Nasional (MN) yang ditanda tangani oleh Umno yang diwakili Annuar Musa selaku Setiausaha Agung ketika itu sudah dikhianati. Yang tumpang khianat adalah Annuar Musa sendiri yang termasuk dalam Umno A. 

Apakah Umno sedia untuk berbuat demikian? Sebenarnya Umno tidak ada pilihan lain kalau mereka mahu mempastikan Umno terus hidup dan releven. Bahkan kerjasama atau huluran tangan Umno kepada oposisi ini perlu disegerakan, sebelum tibanya Piraum atau lebih tepat sebelum bekas presiden dan presidennya dan beberapa yang lain divoniskan atas segala tuduhan yang dikenakan. Umno tidak perlu menghitung dan berfikir panjang.  

Masa depan dan kedudukan Umno sekurang-kurangnya dalam Piraum ke-15 akan selamat hanya kalau mereka sedia bekerjasama dengan pembangkang dan bukan menaruh harapan kepada kawan yang tidak jujur yang dikenali sebagai musuh lamanya itu. Terus terang dikatakan bagi Pas yang bermusuh dengan Umno, parti itu lebih senang kalau Umno tiada atau diharamkan kerana ia boleh mengutip laba daripada tragedi itu. Pas kini sedang menunggu dengan tangguk besar di pergentingan perbalahan Umno. 

Ingat Pas sudah arif dan bijak bermain politik setelah menjadi mangsa dan hamba politik Umno sejak berdekad. Lagi sekali diulang sebutkan Umno tidak boleh lewat membuat keputusan sebab masa terus berjalan.