ADAKAH SURAT ANNUAR MUSA KEPADA ZAHID HAMIDI INI BUKTI WUJUDNYA GERAKAN MENGUBAH KEPUTUSAN MT UMNO?

 

UMNO Bahagian Ketereh, Kelantan yang dipimpin oleh Annuar Musa dilaporkan telah menghantar surat kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan empat pendirian bahagian berkenaan berkaitan politik semasa dan hubungan dengan kerajaan PN yang diterajui Bersatu.

Ketetapan pendirian yang turut ditandatangani 30 AJK UMNO Bahagian itu dihantar kepada Presiden UMNO pada 19 Mac lalu.

Pendirian yang dimaklumkan untuk perhatian Ahmad Zahid itu ialah:-

1. Tetap menyokong kerajaan gabungan Perikatan Nasional – Barisan Nasional – GPS (Sarawak) – GRS (Sabah).

2. Mengesyorkan supaya BN dan PN segera memulakan rundingan kerusi serta berusaha membentuk gabungan terkuat menentang PH dalam PRU15.

3. Memohon YAB Perdana Menteri segera melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dari kalangan pemimpin BN serta merta.

4. Terus fokus dan memberi keutamaan kepada agenda kestabilan politik, memerangi Covid19, membela rakyat serta memulihkan ekonomi negara.

Meneliti surat bekas Setiausaha Agung BN itu di ketika UMNO sudah menetapkan keputusan putus hubungan dengan Bersatu dan berada dalam kerajaan PN hanya sehingga Parlimen dibubarkan serta menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada 27 dan 28 Mac ini bagi memuktamadkan ketetapan tersebut, menimbulkan beberapa persoalan tentu saja tidak dapat dielakkan.

Berikutan UMNO sudah ada ketetapan yang jelas tentang hubungannya dengan Bersatu dan PN iaitu hanya sehingga Parlimen dibubarkan, untuk apa lagi sebenarnya UMNO Ketereh membuat pendirian yang berbeza dan kemudian Annuar menghantar surat kepada Presiden UMNO berkenaan dengannya?

Mengapa Annuar masih ingin menzahirkan sokongan kepada kerajaan PN?

Apakah beliau tidak setuju dengan pendirian MT UMNO yang keputusannya sudah pun dimaklumkan secara bertulis oleh Ahmad Zahid Hamidi sendiri kepada Muhyiddin Yassin?

Seterusnya, untuk apa juga UMNO Ketereh mengesyorkan rundingan pembahagian kerusi antara BN dan PN, walhal UMNO telah berpendirian untuk putus hubungan dengan Bersatu?

Tidakkah dengan ketetapan putus hubungan itu bermakna UMNO dan BN akan bertanding secara sendirian dan tidak perlu lagi berunding sebarang pembahagian kerusi dengan PN yang di dalamnya ada Bersatu?

Adakah ini bermakna Annuar masih berharap UMNO dapat memberi laluan lebih banyak kerusi kepada Bersatu bagi tujuan mengekalkan lagi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri?

Adakah saranan berunding kerusi ini juga bermakna Annuar mahu Kumpulan Hamzah Zainuddin yang sebelum ini melompat daripada UMNO ke Bersatu terus diberi laluan mudah untuk bertanding dan menang dalam PRU15 akan datang?

Tidak terkecuali, adakah ini turut bermakna Annuar mahu Kumpulan Azmin Ali dalam Bersatu diberi kemudahan laluan yang sama oleh UMNO?

Selanjutnya pula, dengan mengesyorkan rundingan kerusi antara BN dan PN yang pastinya tujuan utamanya agar Muhyiddin dikekalkan lagi sebagai Perdana Menteri, apakah Annuar tidak sependirian dengan keinginan majoriti akar umbi UMNO yang mahukan jawatan Perdana Menteri kembali dipegang oleh parti itu selepas PRU15 akan datang?

Paling tidak masuk akal sekali dalam ketetapan UMNO Ketereh itu ialah ia masih lagi berharap Muhyiddin dapat melantik seorang Timbalan Perdana Menteri daripada BN.

Bukankah isu jawatan nombor dua dalam kerajaan itu tidak penting lagi bagi UMNO setelah ia membuat ketetapan enggan bekerjasama dengan Bersatu?

Lagi pula, apa guna putus hubungan dengan Bersatu jika akhirnya UMNO sudi menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri?

Tidakkah jawatan yang paling UMNO dambakan ialah kerusi Perdana Menteri yang kini disandang oleh Muhyiddin?

Bukankah dengan sudi menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri, bererti UMNO akan mengorbankan perjuangan mendapatkan kembali kerusi Perdana Menteri?

Akhirnya, menjelang PAU pada 27 dan 28 Mac ini iaitu hanya seminggu daripada sekarang, ketetapan UMNO Ketereh dan surat yang dihantar oleh Annuar kepada Presiden UMNO ini, mahu tidak mahu, tidak lain hanya bertujuan mengcak keharmonian dan mewujudkan kekeliruan dalam parti semata-mata.

Adakah apa yang dilakukan Annuar ini mengesahkan lagi memang wujud gerakan untuk mengubah keputusan MT UMNO berkaitan putus hubungan dengan Bersatu dalam PAU kali ini, seterusnya untuk menyingkirkan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO?

 (Shahbudindotcom 21/03/2021)