Oleh: Prof Agus
1. Majoriti ahli UMNO boleh menerima penyelesaian politik yang
diambil oleh pucuk pimpinan dengan syarat ‘No Anwar No DAP.’ Saya rumuskan
sebab penolakan mereka sebagai berikut:
i. Perjuangan Anwar adalah untuk memenuhi kepentingan peribadi.
ii. Anwar dianggap tidak bermoral.
iii. Menerima DAP, musuh paling utama sejak sekian lama bererti
UMNO menggadaikan dasar perjuangan ABATAnya (Agama, Bangsa, Tanah Air).
iv. DAP adalah parti rasis dan cauvinis.
v. DAP dianggap anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja Melayu.
2. Mengulas dasar ‘No Anwar No DAP’ ini, Tengku Razaleigh (Ku
Li) menyatakan slogan ini “hanyalah sentimen semata-mata.” Puad Zarksahi
menambah dengan menyatakan “slogan no Anwar no DAP tidak semestinya relevan
sepanjang masa. Senario berubah, orang berubah. Pemikiran politik lagi cepat
berubah.”
3. Kenyataan Ku Li dan Puad ini membawa makna buang sentimen dan
berubah sesuai dengan tuntutan semasa. Slogan No Anwar No DAP tidak membawa
UMNO ke mana, sebaliknya membuka kerjasama baharu dengan PH boleh menguntungkan
UMNO.
4. Pertama, kerjasama dengan PH membolehkan UMNO bertanding di
semua kerusi tradisinya tanpa pertindihan kerusi dengan Bersatu dan PAS. Kedua,
UMNO akan kekal sebagai parti Melayu dominan kerana tidak lagi bersaing dengan
dua parti Melayu yang lain dalam PN. Ketiga, UMNO dengan PAS dan Bersatu
sekadar mendapat jawatan kecil, tetapi jika dengan PH, UMNO akan mendapat
jawatan yang lebih kanan.
5. Bagi saya, dalam kemelut politik hari ini, UMNO perlu
pragmatik. Menerima Anwar dan DAP bukan bererti membentuk pakatan baharu,
tetapi membentuk kerjasama politik. Satu lagi ialah slogan ‘No Anwar No DAP’
berkonotasi kebencian dan perkauman yang tentunya bukan modal politik terbaik
untuk negara kita.
6. Perjuangan politik terbaik bagi negara kita adalah memenuhi
keperluan rakyat, mensejahterakan kehidupan mereka dan membina negara bangsa
yang bersatu. Saya fikir, dalam senario politik sekarang, kerjasama BN/UMNO dan
PH adalah lebih baik untuk mencapai hasrat di atas.
Sekadar catatan hari minggu.