Tarik anugerah penghormatan ketenteraan Malaysia dari jeneral Myanmar
Kerajaan Malaysia sewajarnya menarik balik dua pingat penghormatan ketenteraan yang diberikan kepada Jeneral Min Aung Hlaing yang mengetuai rampasan kuasa di Myanmar.
Seorang aktivis demokrasi, Abdul Malek Hussin baru-baru ini berkata, mengekalkan pingat berprestij Malaysia itu kepada Aung Hlaing sebagai melalukan negara kerana beliau terlibat dalam pembersihan etnik Rohingya.
“Dalam profilnya, Jenderal Min Aung Hlaing bangga menyebut dirinya sebagai penerima dua pingat dari Malaysia
“Pada 26 Januari 2018, Burma Campaign UK telah melancarkan suatu petisyen antarabangsa bagi menggesa kerajaan Malaysia menarik balik dua pingat ketenteraan yang pernah dianugerahkan kepada Jenderal Aung Hlaing.
“Ketika itu Perdana Menteri Malaysia ialah Najib Razak. Kemudian digantikan oleh Dr Mahathir Mohamad dan kini Muhyiddin Yassin. Namun tiada maklumat yang menunjukkan Malaysia telah menarik darjah ketenteraan daripada Jenderal Min Aung Hlaing.
“Dengan latar keganasannya terhadap etnik Rohingya dan kerakusannya memusnahkan demokrasi di Myanmar, adalah tersangat tidak wajar Malaysia membenarkan Jenderal Min Aung Hlaing kekal memiliki dua anugerah ketenteraan Malaysia yang amat berprestij tinggi itu,” katanya dalam tulisan di Facebook.
Menurut Malek lagi, tindakan Aung Hlaing yang menjadi ketua pemerintah angkatan tentera Myanmar sejak Mac 2011 melakukan genosid ke atas etnik Rohingya pada 2016-2017, dengan membunuh tidak kurang 24,000 orang, merogol 18,000 wanita dan gadis serta menghalau lebih 700,000 etnik Rohingya dari Arakan amat tidak boleh diterima oleh masyarakat bertamadun.
“Kerajaan Malaysia dituntut supaya bertindak segera menarik balik pingat-pingat kebesaran Angkatan Tentera Malaysia dari Jenderal Min Aung Hlaing,” katanya lagi.
Jeneral Min Aung Hlaing menerima dua pingat, iaitu Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera Malaysia dan Darjah Kehormat Keberanian Pangkat Pertama Angkatan Tentera Malaysia.