Tidak ada sebab lain mengapa kerajaan melalui Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba tiba-tiba setuju melonggarkan SOP tempoh kuarantin bagi menteri yang pulang daripada lawatan rasmi ke negara melainkan petanda ketidaksediaan golongan kayangan tersebut patuh kepada peraturan yang sama sebagaimana dilalui rakyat biasa.
Ia juga hanya memperlihatkan benarnya tanggapan ramai sebelum ini bahawa negara kita seolah-olah mengamalkan dua set peraturan atau undang-undang yang berbeza iaitu satu untuk menteri dan satu lagi untuk rakyat marhaen.
Jika sebelum ini terdapat beberapa menteri yang didapati melanggar SOP PKP tetapi tidak dikenakan apa-apa tindakan, kelonggaran terbaru ini jelas menunjukkan kerajaan minoriti dan pintu belakang PN ini cuba mengistimewakan lagi kedudukan menteri-menteri seolah-olah mereka begitu mulia serta tinggi darjatnya berbanding rakyat jelata yang lain.
Weii…apakah tujuan sebenar PKP dan darurat ini dikuatkuasakan jika untuk menteri ada kelonggaran, tetapi SOP, malah kompaun serta hukuman untuk rakyat biasa makin diperketat dan dinaikkan?
Dalam kelonggaran SOP terbaru yang diberikan kepada menteri-menteri yang kembali dari lawatan rasmi ke luar negara, mereka akan dikecualikan daripada Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan hanya akan dikuarantin serta dipantau selama tiga hari berbanding 10 hari sebagaimana yang sepatutnya atau yang terpakai kepada rakyat biasa.
Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang ditandatangani oleh Dr. Adham itu akan berkuatkuasa sehingga 1 Ogos, iaitu sepanjang tempoh darurat dan dikuatkuasakan bermula esok, 9 Februari.
Selain Muhyiddin Yassin yang baru dua hari lalu pulang dari lawatan rasmi ke Indonesia, Menteri Luar Negeri, Hishammuddin pula ketika ini sedang melakukan lawatan rasmi ke Abu Dhabi.
Dengan kelonggaran ini, bermakna tempoh kuarantin Muhyiddin akan turut berakhir esok, manakala Hishammddin, setelah pulang nanti, hanya perlu menjalani kuarantin selama tiga hari saja.
Tidak dipastikan sama ada kelonggaran SOP PKP ini semata-mata dilakukan untuk kepentingan Muhyiddin dan Hishammuddin atau ianya hanya kebetulan saja.
Juga tidak dapat dipastikan jika ini merupakan petunjuk bahawa lebih ramai lagi menteri-menteri akan melalukan lawatan ke luar negara selepas ini.
Apa yang pasti, kelonggaran ini seperti ada kaitan dengan kes Menteri Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Attakiri yang sebelum ini menjadi isu kerana tidak menjalani kuarantin sebaik pulang daripada luar negara.
Apa pun alasannya, keputusan melonggarkan SOP ini, selain menunjukkan ketidaksediaan para menteri mematuhi SOP kuarantin selama 10 hari iaitu sama seperti rakyat biasa, ia juga memperlihatkan ketidakseriusan kerajaan dalam menangani wabak Covid19 yang kini sudah di peringkat gelombang ketiga ancamannya.
Sepatutnya, jika PKP dan darurat ini benar-benar untuk menangani Covid19 dan kerajaan serius mengenainya, para menteri hendaklah menunjukkan contoh teladan kepada rakyat dengan sama-sama sedia mematuhi peraturan yang serupa dilalui oleh rakyat biasa.
Apakah istimewa sangat menteri-menteri dalam kerajaan PN ini sehingga mereka tidak mahu dikuarantin selama 10 hari, sedangkan jadi kerajaan pun melalui pintu belakang dan jalan pengkhianatan?
Malulah sikit beb!!
Apakah dengan dikuarantin selama tiga hari itu boleh memberi jaminan menteri-menteri yang balik dari luar negara tidak mudah terkena jangkitan Covid19 berbanding rakyat biasa sehingga mereka perlu dikenakan kuarantin selama 10 hari?
Selain itu, sebenarnya juga, tidak perlu sama sekali bagi para menteri pergi ke luar negara melakukan lawatan rasmi dalam tempoh PKP dan darurat serta di ketika wabak Covid19 masih bergentayangan di udara seluruh dunia sekarang ini.
Kalau persidangan sebesar APEC yang melibatkan ramai ketua kerajaan pun boleh dilakukan secara maya, apalah sangat perlunya menteri naik kapal terbang menghabiskan duit rakyat ke luar negara semata-mata untuk menghadiri pertemuan empat, enam atau lapan mata saja.
Bukankah ia boleh dibuat secara maya juga?
Pokoknya, jika menteri tidak pergi ke luar negara atau tiada perancangan untuk melawat mana-mana negara dalam tempoh PKP dan darurat sehingga 1 Ogos depan, tiada keperluan pun untuk Dr. Adham menandatangani kelonggaran SOP tersebut.
Nampaknya, menteri kerajaan PN ini, dengan kuasa yang ada, lebih mengutamakan kesenangan dan keselesaan kelompok sendiri terlebih dahulu berbanding mengutamakan rakyat.
Yang nyata, rakyat kini amat marah dan tidak puas hati dengan kelonggaran ini dan rata-rata merasakan, jika beginilah amalan dua darjat atau double standard yang mahu diterapkan, maka lebih baiklah ditamatkan saja PKP dan darurat ini yang hanya menampakkan kerajaan tiada kesungguhan untuk benar-benar membendung Covid19.
Biarlah tiada PKP, tiada darurat, tiada SOP, tiada kuarantin; mudah-mudahan akhirnya tiada PN dan tiada juga Muhyiddin lagi menyusahkan hidup kita semua.
(Shahbudindotcom 09/02/2021)