APA NAK DIKATA, INILAH PM YANG BANYAK MENYUSAHKAN KITA….


 Perlaksanaan PKP 2.0 yang kemudian disusuli dengan perintah darurat sehingga 1 Ogos depan, selain menampakkan kegagalan Muhyiddin Yassin semakin di depan mata, rungutan dan rasa tidak puas hati rakyat pula boleh dikata hampir merata.

Bagi darurat, walaupun dihujahkan ia untuk menangani Covid19, realitinya ia lebih menampakkan untuk mengelakkan Muhyiddin daripada dijatuhkan.

Bukan lagi satu rahsia, cadangan darurat itu dikemukakan Muhyiddin kepada Yang Dipertuan Agong selepas seorang demi seorang Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya serta menjelang UMNO mahu memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu dalam Perhimpunan Agungnya 31 Januari depan.

Sebelum darurat dilaksanakan, Najib Razak ada mengingatkan Muhyiddin kiranya perintah itu dipohon sekali lagi oleh Muhyiddin, ia tidak lain adalah bertujuan agar kerajaan PN terus kekal berkuasa.

Di samping terbukti permohonan darurat buat kali kedua dipohon oleh Muhyiddin, setelah kali pertama dulu ia ditolak, Najib juga mendedahkan hanya Malaysia satu-satunya negara dalam dunia yang menguatkuasakan darurat ketika Covid19 bersekali dengan penggantungan Parlimen.

Dengan itu, maksud politik di sebaliknya tidak perlu disangkal lagi dan pilihan terhormat bagi pemimpin yang hilang sokongan sepatutnya meletakkan jawatan, bukan mencadangkan kepada Agong agar darurat dikuatkuasakan.

Dalam hal ini, keterdesakan Muhyiddin mahu mengekalkan kuasa sehingga mengusulkan perlaksanaan darurat turut membuatkan Tun Mahathir Mohamad menggelarnya sebagai diktator.

Jika Tun Mahathir yang sebelum ini kerap digelar diktator telah menggelar Muhyiddin sebagai diktator, maka hampir 99 peratus benarlah hakikat itu.

Ini kerana hanya diktator kenal dengan pemimpin lain yang ada ciri-ciri diktator seperti yang pernah dikaitkan dengan dirinya.

Dalam perlaksanaan PKP 2.0 pula, di sebalik difahami ianya bertujuan membendung Covid19, peraturan yang dilihat berpilih-pilih turut sama menyerlahkan kegagalan Muhyiddin membela rakyat, terutama golongan B40.

Sementara gedung dan pasaraya besar, kedai perabot IKEA serta kedai barang kemas Habib Jewel, seperti dinyatakan Najib dalam laman sosialnya boleh terus dibuka, sedangkan ia bukan perniagaan barangan keperluan, banyak perniagaan kecil lain atau kaedah meniaga untuk golongan B40 mencari wang seperti pasar malam, tidak dibenarkan membuka perniagaan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Ini menimbulkan pertanyaan, golongan mana sebrnarnya yang menjadi keutamaan Muhyiddin untuk dibelanya – tauke besar yang sedia kaya raya atau rakyat marhaen yang kais pagi makan pagi sebagai sumber pendapatan mereka?

Kalau pun mereka hendak disuruh duduk di rumah, setidak-tidaknya sediakanlah bantuan kewangan yang sewajarnya dalam tempoh tidak boleh menjalankan perniagaan sekarang ini.

Di waktu yang sama, kedai makan dan restoran yang hanya dibenarkan meniaga sehingga jam 8.00 malam juga benar-benar menyekat pintu rezeki sebahagian lagi golongan B40.

Selain banyak restoran dilaporkan hilang pendapatan hampir 80 peratus kerana peraturan itu yang disertai larangan makan di kedai, kerajaan haruslah sedar bahawa ramai golongan B40 menjalankan perniagaan bermula pada waktu petang sebagai sumber rezeki seperti menjual burger, char kuew tiaw, sate dan sebagainya.

Restoran-restoran tomyam juga biasanya dibuka bermula pada waktu petang.

Dengan itu, jika pukul 8.00 malam sudah diarah tutup kedai, berapa lama dan bagaimana mereka mahu mencari rezeki?

Lagi pula, bagi kebanyakan orang Islam, waktu mereka membeli makanan untuk dibawa pulang bagi makan malam ialah selepas selesai menunaikan solat maghrib.

Maka, kenapa Muhyiddin, sebagai anak ulama, tidak boleh berfikir untuk melanjutkan tempoh perniagaan kedai makan, restoran, menjual burger, char kuew tiaw, sate dan sebagainya sekurang-kurangnya sehingga jam 10.00 malam?

Dalam tempoh darurat dan PKP 2.0 ini juga, kegagalan Muhyiddin tambah berganda dengan laporan beberapa syarikat antarabangsa besar seperti Toyota, Hyundai, Amazon, LG, pembuat bateri CATL bakal memindahkan pelaburan mereka hampir RM100 bilion ke Indonesia.

Tidak sukar menelah pindahnya semua syarikat besar itu adalah disebabkan ketidakyakinan mereka terhadap kepimpinan Muhyiddin, kestabilan politik negara dan kerajaan PN yang diterajuinya.

Kehilangan pelabur-pelabur tersebut bukan saja menjejaskan pendapatan negara, malah menyebabkan beribu-ribu rakyat hilang pekerjaan dan ini tidak mustahil mendorong ramai antara kita menyeberang ke Indonesia mencari kerja sepertimana mereka sekarang ini mencari rezeki ke negara kita.

Sebab itu, lagi lama beliau bertahan dengan kerapuhan kuasanya sekarang, bukan bertambah baik keadaan negara ini, bahkan akan memburuk dengan ekonomi bertambah malap, rakyat sukar mencari rezeki dan ramai yang hilang pekerjaan.

Pun begitu, Malaysia ini agak bertuah kerana mempunyai Agong sebagai ketua negara yang baik, merendah diri, cakna kepada rakyat terutama jika ada malapetaka melanda, nak diharapkan Muhyiddin, beliau boleh dikata tidak berguna apa-apa untuk memberi kesejahteraan kepada kita semua.

Sewaktu PKP 1.0 dahulu di mana beliau sering menyebut hanya ingin menjaga rakyat dan tidak mengutamakan politik, sebaliknya ketika itu jugalah beliau memecat dan menyingkirkan semua musuh-musuh politiknya dengan cara yang keras dan tidak memberi muka.

Di ketika PKP 2.0 dan darurat ini pula, hanya setelah dua hari berlalu, beliau jugalah yang pertama sekali mempengerusikan mesyuarat politik PN Johor, sambil membuat beberapa perlantikan untuk mengukuhkan kedudukan gabungan tersebut.

Dengan selalu cakap tak serupa bikin, disertai dengan deretan kegagalan dan lebih banyak membawa kesusahan daripada kesenangan kepada rakyat, termasuk mencadangkan darurat ketika sokongan terhadapnya makin tiada, Muhyiddin dengan ini adalah Perdana Menteri terburuk dalam sejarah negara.

 (Shahbudindotcom 16/01/2021)