PH boleh teroka kerjasama berbilang parti - Abdullah Sani



Perkembangan politik terbaharu yang memperlihatkan Pakatan Harapan di Perak dan Johor boleh bekerjasama meluluskan Belanjawan 2021 di kedua-dua negeri berkenaan memungkinkan satu konsep kerjasama berbilang parti pada masa hadapan.

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, konsep seperti itu mungkin masih belum dihalusi pada peringkat tertinggi parti namun selepas kerjasama ditunjukkan dalam beberapa isu di Perak dan Johor, tidak mustahil pada masa hadapan kerjasama boleh dilakukan dengan parti-parti musuh.

"Saya nampak (ada kemungkinan) begitu dan Malaysia ke arah itu untuk memberikan keharmonian dan kesaksamaan untuk kita menjelmakan reform itu sendiri.

"Seperti mana yang berlaku di Perak dan Johor, petandanya itu menunjukkan kerjasama itu boleh diwujudkan dengan adanya coalition kerajaan. Dengan adanya perpaduan kerajaan, jadi ia tidak menjadi masalah, malah itu memantapkan Parlimen itu sendiri," ujarnya.

Kerjsama berbilang parti wujud di Jerman yang mana gabungan parti-parti kerajaan peringkat persekutuan tidak sama di peringkat negeri atau wilayah, dan menjadi contoh sebutan para penganalisis politik yang membincangkan perkembangan muktahir politik tanah air.

Mengenai terdapat segelintir penyokong DAP atau Amanah yang mengkritik langkah Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya gagal dalam usaha mengambilalih kerajaan persekutuan dengan kerjasama sebilangan Ahli-ahli Parlimen Umno, Abdullah berkata, Anwar telah diberi mandat untuk mengusahakannya, sama ada berjaya atau tidak, penyokong perlu menerimanya.

"Kedua-dua (penyokong) parti ini kena tahu, kita ambil mandat rakyat (pilihan raya umum 14) tetapi pengkhianatan berlaku. Menolak pencalonan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri (masa hadapan) merupakan suatu pengkhianatan kepada parti itu," katanya.

Bagaimanapun, semalam ketika merasmikan kongres Pemuda Amanah, Timbalan Presiden parti itu Salahuddin Ayub berkata Gabungan Besar yang dicadangkan tidak akan 'mengusik' kedudukan Anwar dan dengan syarat PH memimpin parti-parti pembangkang lain.