Putrajaya akan umum pendekatan baru untuk moratorium pinjaman

 

Terdapat gesaan untuk bank melanjutkan moratorium pinjaman selama 6 bulan sejak April hingga September lalu secara automatik. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperhalusi lanjutan moratorium pinjaman kerana ia tidak boleh diberikan kepada semua sektor ketika kelembapan ekonomi dan krisis kesihatan berterusan.

Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata, walaupun dunia berdepan keadaan ekonomi suram ekoran pandemik Covid-19, terdapat beberapa sektor yang masih menunjukkan prestasi baik.

“Justeru, kerajaan sedang mengkaji dan memperhalusi pendekatan baru,” katanya di Dewan Rakyat hari ini menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai langkah kerajaan membantu pekerja diberhentikan, jika moratorium pinjaman tidak dilanjutkan.

Khamis lalu, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri dilaporkan berkata, sebanyak 650,000 permohonan bagi moratorium bersasar diterima dengan kadar kelulusan tinggi 98% sejak 1 Okt lalu.

Katanya, daripada jumlah permohonan yang diluluskan itu, 40% membabitkan lanjutan moratorium.

Terdapat gesaan untuk institusi kewangan memberi lanjutan moratorium pinjaman secara automatik selama 6 bulan sejak April hingga September lalu.

Sejak itu, kerajaan mengumumkan moratorium pinjaman bersasar, termasuk lanjutan untuk sektor tertentu dalam Belanjawan 2021.

Tetapi, ahli politik dari kedua-dua pihak menggesa moratorium pinjaman dilanjutkan 6 bulan lagi secara automatik kerana bank sudah mengaut keuntungan banyak selama bertahun-tahun dan mampu bertahan dengan memberikan lanjutan itu.