Kerajaan perlu perluaskan kajian merawat pesakit COVID-19 - Dr Azman

 






Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail mencadangkan kepada kerajaan supaya memberikan tumpuan kepada tiga perkara dalam menangani wabak COVID-19.


Beliau berkata, perkara pertama adalah memperluaskan bahan bacaan dalam bidang tertentu bagi merawat pesakit COVID-19 dengan lebih efisyen.


"Aspek keselamatan dan keberkesanan dalam merawat COVID-19 ada dalam berbagai makalah dan kajian.


"Kementerian perlu membaca lebih meluas dalam bidang khusus seperti nutritional medicine dan automolecular medicine, tidak hanya melalui jurnal tertentu sahaja," katanya.


Perkara kedua pula, kata Dr Azman, melibatkan kajian dan rawatan oleh pakar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Hospital Raja Perempuan Bainun di Ipoh yang dilihat berkesan merawat pesakit COVID-19.


"Kajian dari pakar KKM itu telah diterbitkan pada bulan Julai lepas dan kajian itu memberangsangkan, malah hasil rawatan untuk jangkitan COVID-19 itu menyebabkan kadar sembuh dan pulih pesakit sangat memberangsangkan.


"Apakah itu tidak cukup untuk KKM bergerak ke hadapan dan positif terhadap penggunaan vitamin C?" soalnya.


Satu lagi perkara yang dicadangkan oleh Dr Azman adalah meminta bantuan dari doktor pakar dari Wuhan, China yang berjaya mengekang wabak COVID-19 dari terus merebak.


"Satu kajian yang sangat besar di Wuhan, China menyenaraikan dengan lengkap 'methodology' dalam British Medical Journal sebulan lepas dan akan disiarkan dengan lebih terperinci hujung tahun ini.


"Kajian itu merupakan multicenter randomized controlled-trial, apakah kita tidak boleh berhubung dengan beliau dan cuba menggunakan kaedah rawatan yang selamat, mudah dan murah ini.


"Ini untuk menyelamatkan nyawa ketika kita ada keperluan mendesak begini, perlukah kita harus menunggu menjadi pengikut sahaja," katanya.