Pengerusi Majlis Pimpinan
Negeri (MPN) Sabah, Christina Liew mengecam tindakan blogger Raja Petra
Kamaruddin yang memutar belit kenyataannya mengenai pelantikan PAS dalam
kabinet kerajaan negeri.
Beliau berkata, Raja Petra
berbuat demikian menerusi sebuah artikel yang disiarkan di laman web Malaysia
Today bertarikh 4 Oktober 2020 bertajuk "PKR wants Muslims to reject the
Qur’an".
"Kenyataan asal saya
merujuk kepada PAS sebagai entiti politik tidak akan diterima oleh rakyat
Sabah. Tidak ada dalam kenyataan saya yang menyebut PKR Sabah mahu orang Islam
menolak sama ada Al-Quran atau Islam.
"Tuduhan yang dibuat oleh
Raja Petra adalah satu penipuan dan ia sangat menjijikkan yang bertujuan untuk
memfitnah saya sebagai wakil rakyat dan pemimpin PKR Sabah," katanya.
Disebabkan tuduhan berat
tersebut, Christina sudah merancang untuk mengambil tindakan undang-undang
terhadap Raja Petra.
"Saya telah mengarahkan
pasukan undang-undang saya untuk mengkaji perkara ini dan mempertimbangkan
untuk meneruskan tindakan undang-undang," katanya.