Saya cuma cuba bantu, kata Ebit Lew selepas ditolak universiti
PETALING JAYA: Pendakwah selebriti dan dermawan Ebit Lew memohon maaf kerana menyediakan 20 bas untuk mengangkut mahasiswa yang terkandas di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pulang ke tempat asal mereka selepas university itu berkata, beliau tidak mendapat kebenaran untuk berbuat begitu.
Lew adalah antara rakyay Malaysia yang menawarkan bantuan kepada mahasiswa yang terkandas berikutan keputusan saat terakhir kerajaan untuk menangguhkan pendaftaran kemasukan ke universiti secara bersemuka bagi sesi akademik Oktober atas faktor peningkatan kes jangkitan Covid-19.
Sesetengah mahasiswa yang terkandas tiada tempat menginap atau pengangkutan untuk pulang ke rumah.
Beberapa individu melancarkan kutipan derma membayar kos makanan, pengangkutan dan tempat penginapan.
Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik serta pengasas parti politik baru dan juga bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Abdul Rahman juga terlibat dalam usaha tersebut.
Lew, seorang peniaga yang berjaya, pada mulanya menyediakan 20 bas untuk menghantar mahasiswa UPSI pulang ke kampung mereka, tetapi menangguhkan usaha itu.
Majlis perwakilan mahasiswa UPSI berkata, beliau perlu mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan univerisiti tersebut terlebih dahulu, yang memerlukan kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Di Facebooknya Lew berkata: “Saya mohon maaf pada pihak pentadbiran UPSI, terutamanya naib canselor sendiri yang menghubungi pihak saya tadi supaya saya membuat permohonan maaf terbuka.
“Saya minta maaf pada semua adik pelajar universiti lain juga. Asal saya niat buat semua ini untuk pelajar berdasarkan keluhan yang saya tanggung dan dengari.
“Sebab dulu, saya berhari-hari lapar tu biasa. Saya memang jarang balik kampung sebab tiada duit.
“Saya minta maaf… Saya cuma mahu membantu.”
Majlis perwakilan mahasiswa univerisiti itu mengucapkan terima kasih kepada Lew atas usahanya, tetapi berkata penularan Covid-19 bererti pendakwah tersebut perlu mematuhi prosedur sebelum menyediakan pengangkutan.
Majlis itu berkata, ia tidak mahu sebarang insiden negatif berlaku, terutama yang berkaitan dengan Covid-19 dan keselamatan mahasiswa dalam perjalanan mereka ke destinasi masing-masing.
FMT cuba mendapatkan pengesahan dari[ada naib canselor universiti tersebut.