ULASAN
MSO
Anwar mengadakan sidang akhbar |
SIDANG khas Anwar Ibrahim bertempat di sebuah hotel di ibu
negara tengah hari tadi 9semalam) sempat membentuk gelombang politik yang penuh dengan
teka teki.
Kenyataan dibuat Anwar
itu berlaku tanpa ada angin dan ribut justeru ia mengejutkan banyak pihak.
Tiba-tiba sahaja beliau dengan penuh yakin memberi tahu media yang beliau sudah
mempunyai nombor mencukupi dan mengisytiharkan kerajaan Perikatan Nasional (PN)
Muhyiddin jatuh.
“Kerajaan pimpinan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh. Maklumat selanjutnya
akan saya maklumkan selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan
Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Bilal Shah dalam masa terdekat.
Insya-Allah," katanya dalam sidang akhbar itu.
Kenyataan Anwar itu
menimbulkan pelbagai reaksi daripada berbagai pihak dan turut juga menjadi
panik di sektor tertentu negara. Kenyataan itu nampak seperti benar apabila
Anwar mengaitkan nama Yang diPertuan Agong, apa lagi menurutnya beliau
sepatutnya menghadap Yang diPertuan Agong semalam tetapi tertangguh apabila
Agong mendapat rawatan di IJN.
Kenyataan itu seolah-olah
apa didakwa Anwar itu sudah mahu berlaku dan hampir berlaku.
Apa yang berlaku itu
membingungkan dan penuh tanda tanya. Bagaimana pun ia menjadi sedikit
misteri dan pelik kerana sidang itu dibuat bersendirian tanpa hadir sama
pemimpin PH baik daripada Amanah dan DAP mendampingi Anwar dalam sidang itu.
Apakah pemimpin Amanah dan DAP sengaja tidak dijemput?
Di sepanjang sidang
akhbar itu yang dilihat menemani Anwar hanya isterinya Dr Wan Azizah
Wan Ismail dan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail. Keterbatasan
yang hadir ini mungkin kerana mematuhi SOP Covid? Ia bukan ganjil.
Maklumat memberi tahu
Anwar akan mengadakan sidang khas tersebar sejam malam tadi, tetapi bersifat
embargo sehingga jam 8:00 pagi tadi. Maklumat itu dikeluarkan Pengarah
Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.
Mulanya saya sendiri
kurang yakin dengan maklumat itu dan menganggap ia hanya gimik liar atau pun
sebagai vandalisme politik semata-mata, tetapi setelah mengesahkan dengan
sumber rapat dengan Anwar menyebabkan saya jadi tertunggu-tunggu mengenainya,
tetapi tidak sampai menyangka pengumuman mengenai nombor apa lagi jatuhnya
kerajaan PN.
Sidang akhbar Anwar tadi(semalam) sesuatu yang cukup berani dan bertanggungjawab kerana beliau mengisythihar yang
kerajaan Muhyiddin telah tumbang dan seolah beliau sudah mendapat perkenan
Agong untuk mengambil alih sebagai Perdana Menteri. Sidang media itu juga
berisiko tinggi buatnya kerana ia boleh menjejaskan integriti politiknya kalau
apa didakwa itu tidak benar.
Untuk beberapa jam
selepas sidang akhbar itu diadakan ia telah benar-benar mengalutkan keadaan.
Mereka yang kesekian lama mendambakan Anwar sebagai PM sudah bersorak dan sebak
menangis. Berpuluh panggilan telefon yang saya terima dari kawan jauh dan dekat
ingin mengetahui cerita lanjut berhubung sidang media itu.
Timbul juga tanda tanya
apakah Muhyiddin yang dijadualkan akan membuat perutusan khas di sebelah
petangnya ada kait dengan sidang akhbar Anwar itu.
Bagaimana pun selepas
beberapa jam kemudian setelah satu pihak demi satu pihak membuat kenyataan
menjawab dakwaan Anwar itu ia menjadi reda. Muhyiddin yang muncul dalam sidang
media khasnya tidak membayangkan yang beliau tertekan dengan kenyataan Anwar
itu.
Ketua-ketua parti politik
masing-masing yang bersekongkol dengan Muhyiddin menubuhkan kerajaan PN membuat
kenyataan menafikan kerajaan PN tumbang dan mengakui yang ahli parlimen
masing-masing kekal dengan parti dan tidak ada seorang pun yang belut menyokong
Anwar.
Kenyataan ketua-ketua
parti atau kumpulan itu daripada Pas, MCA, GPS, semua menyatakan sokongan
sokongan kepada Muhyiddin melainkan kenyataan Presiden Umno Zahid
Hamidi yang negatif apabila beliau mengakui beliau tidak ada kuasa
untuk mencegah mana-mana ahli parlimen Umno dan BN daripada menyokong
Anwar.
Kenyataan Zahid itu
kemudian dijadikan sebagai asas dan modal berlaku perpindahan sokongan daripada
ahli parlimen Umno dan BN kepada Anwar bagi mencukupi nombor dan disifatkan
Saifuddin sebagai bukti kerajaan Muhyiddin sudah tumbang.
Manakala kenyataan
dikeluarkan oleh Istana Negara yang memaklumkan memang Yang diPertua Agong
menyatakan kesediaan untuk menerima menghadap Anwar Ibrahim dan isteri, menjadi
bukti terhadap apa yang disebut Anwar dalam sidang akhbar berkenaan.
Sehingga saat ini sidang
akbar Anwar dan dakwaannya walaupun dinafikan keras oleh pihak PN, tetapi
masih menjadi misterius apabila Yang diPertuan Agong dengan tiba-tiba terpaksa
dirawat di IJN. Seandai Al-Sultan Abdullah tidak ke IJN mungkin ia sudah
menjelaskan keadaan sebenarnya. Tegasnya walaupun ia diragui dan diperolok
tetapi ia belum menamatkan persoalan mengenai apa didakwa Anwar itu.
Kesimpulannya walaupun
apa disebut Anwar itu sesuatu yang pernah berlaku sebelum ini dan sudah disinis
pahit oleh Dr Mahathir dan beberapa yang lain menjadikan ia sebagai cerita dan
gimik politik, namun ia masih tetap satu topik menarik untuk difikirkan
dan ianya sempat menyebabkan tidur orang politik termasuk Muhyiddin dan barisan
anggota kabinetnya tidak lena seperti malam-malam sebelumnya sehinggalah Anwar
dipanggil menghadap Agong nanti.
Dan bagi saya pula
matlamat dan tujuan sidang akhbar oleh Anwar itu mencapai tujuannya, (yakini
untuk Anwar jadi PM) sekiranya berlaku perpindahan sokongan ahli parlimen Umno
kepada Anwar, atau pun berpatah balik Azmin Ali dan gengnya kepada Keadilan dan
apabila Muhyiddin Yassin melepas jawatan. Tanpa berlaku dua dari tiga itu ia
tidak mencapai matlamat daripada sidang akhbar berkenaan. [wm.kl.8:23
pm 23/09/2020]