Majoriti rakyat Sabah khususnya
penduduk di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk hampir pasti akan
memilih calon KEADILAN, Mustapha Sakmud untuk memenangi Pilihan Raya Negeri
(PRN) Sabah pada 26 September ini.
Walaupun tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mustapha
kali ini dilihat mempunyai kelebihan besar berbanding calon-calon lain, kerana
pengundi DUN Tempasuk sudah mengenali beliau.
"Walaupun kalah sebelum ini, saya teruskan aktiviti
kemasyarakatan serta pelbagai program sebelum dan selepas penamaan calon, dan
hasilnya adalah satu sambutan yang menggalakkan.
"Setiap pagi saya pergi ke rumah-rumah penduduk, di sebelah
malam saya buat ceramah kelompok
"Saya menceritakan hasrat untuk menyelesaikan isu yang
dihadapi suku kaum Bajau, malah kempen saya dikuatkan dengan kehadiran Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah di Tempasuk.
"Saya juga fokus kepada pengundi atas pagar, insya-Allah lah
dapat breakthrough kerana sudah dikenali kalangan penduduk dan tidak pernah
berhenti berkhidmat untuk masyarakat, saya sudah adakan program belia dan
wanita serta semua komuniti di Tempasuk," katanya.
Pengundi Tempasuk juga dilihat cenderung memilih Mustapha jika
dibandingkan dengan lima calon lain iaitu penyandang kerusi, Musbah Jamli
(Bebas), Mohd Arsad Bistari (UMNO), Hamzah Sundang (USNO Baru), Abd Alif Saibeh
(Parti Cinta Sabah) dan Kanul Gindol (Parti Gagasan).
"Saya akan lawan naib ketua pemuda UMNO, tapi dia tidak ada
rekod berkhidmat dengan masyarakat, malah beliau adalah seorang kontraktor.
"Bekas Yang Berhormat (Musbah) yang menjadi calon Bebas ada
masalah integriti. Sebelum ini dia menang dengan Barisan Nasional (BN), dia
masuk Warisan dan kemudian menjadi antara 33 ADUN yang tandatangan akuan
bersumpah dengan Musa Aman untuk menjadi ketua menteri kerajaan pintu belakang.
Jadi dari segi kesetiaan dan integriti itu dipersoal.
"Malah, mereka berdua ini bersepupu tapi dari segi keluarga
mereka berpecah.
"Calon USNO Baru adalah orang luar, calon Gagasan pun sudah
isytihar sokong saya.
"Tapi macam mana pun, kita kekal fokus dengan pergerakan
jentera dari rumah ke rumah dan berkempen secara 'personal touch'.
"Kita mahu tarik pengundi atas pagar dan pengundi sebelah
sana. Ada ahli keluarga saya yang juga sokong sebelah sana, itu yang saya mahu
minta tolong bantu saya peluang jadi ADUN dan lihat perbezaannya nanti,"
katanya.