Satu petisyen menggesa kerajaan supaya mengekalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak membenarkan perniagaan dan aktiviti-aktiviti lain beroperasi semula selepas 4 Mei nanti telah menghimpunkan lebih 133,000 tandatangan 17 jam selepas ia diwujudkan, lapor Star Online hari ini.
Sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka Rakyat Malaysia Prihatin meletakkan petisyen berkenaan di Change.org.
Ia sebagai bantahan terhadap pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di Malaysia akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bermula Isnin ini.
Mereka menyifatkan keputusan kerajaan kerajaan untuk melonggarkan syarat PKP dengan membenarkan lebih banyak sektor dalam negara dibuka semula Isnin ini mungkin akan mengulangi kesilapan yang dialami negara lain, yang menyaksikan gelombang baharu Covid-19 selepas lockdown dilonggarkan.
“Kami merayu supaya kerajaan Malaysia meneruskan PKP dan membatalkan PKP bersyarat.
“Kami tidak mahu kesilapan negara lain yang melonggarkan/membatalkan lockdown berulang di Malaysia.
“Kami tidak mahu barisan hadapan kita berhempas pulas semula.
“Kami tidak mahu kerajaan tunduk kepada kapitalis yang meletakkan prioriti keuntungan lebih tinggi daripada kesihatan dan kebajikan pekerja,” kata petisyen berkenaan menurut laporan itu.
Jumlah penandatangan petisyen berkenaan dijangka akan turus meningkat.