Dalih Covid-19 cemari Parlimen tapi tak mampu sekat kerakusan politik

Dalih Covid-19 cemari Parlimen tapi tak mampu sekat kerakusan politik

Pandemik koronavirus sememangnya memerlukan komitmen luar biasa dan tumpuan penuh semua pihak menanganinya. Bukan sekadar memerangi wabak maut itu tetapi juga impak dahsyatnya, termasuk kesan sosio-ekonomi untuk jangka panjang.
Berdepan agenda penting ini memerlukan pembabitan dan kerjasama yang jitu serta mantap. Sewajarnya setiap potensi terbaik, tanpa mengira perbedaan politik, dapat digembleng dan turut serta dalam proses memulihkan negara.
Namun begitu, satu hakikat yang nyata lagi terang, telah berlaku tragedi rampasan kuasa atau kudeta, ketika kita berdepan serangan wabak lebih dahsyat pada akhir Februari lalu. Malaysia tanpa jemaah menteri, hanya berketuakan perdana menteri interim, dan tumpuan dipusatkan kepada karenah politikus yang sibuk membeli sokongan serta meranapkan kerajaan pilihan rakyat.
Pakar ekonomi Dr Jomo Kwame Sundaram berkata krisis politik yang berlaku di tanah air pada akhir bulan Februari itu telah membazirkan masa negara untuk bersiap sedia menghadapi penularan wabak Covid-19.
“Kita hilang sekurang-kurang tiga minggu kerana ketidakpastian dan kekurangan kepemimpinan. Dan yang lebih penting lagi, kekurangan sumber tambahan yang sangat diperlukan untuk membeli peralatan ujian. Kita kehilangan tiga minggu di sana. Apa sahaja kemajuan yang kita ada dalam tindakan awal pada bulan Januari sebahagian besarnya hilang pada minggu-minggu ini,” kata Jomo.
Episod penubuhan kerajaan pintu belakang ini merupakan detik hitam dalam proses pendemokrasian, yang sepatutnya semakin matang dan teruji selepas PRU14, Mei 2018. Bagi kalangan penyokong pentadbiran baharu ini, kewujudannya cuba dilegitimasikan dengan hujah-hujah dangkal, meskipun belum disahkan di Dewan Rakyat. Sehingga Presiden Pas terpaksa mengutus warkah panjang kepasa gerakan Islam di Timur Tengah bagi mempertahankan kerajaan tebuk atap itu.
Sidang Parlimen yang ditunda, daripada Mac kepada Mei depan, turut dicemari motif politik elit penguasa apabila hanya dihadkan sehari sahaja. Tentu alasan mudah dapat diberikan, iaitu wabak maut Covid-19, sehingga terhalang fungsi semak-imbang dan pemantauan terhadap perjalanan kerajaan.
Sepatutnya di zaman kritikal lagi genting ini, sidang Parlimen amat diperlukan untuk berbahas dengan tuntas banyak strategi dan pendekatan kerajaan, termasuk pakej rangsangan ekonomi dan inisiatif lain yang berkaitan.
Kita boleh faham jika sidang yang penting ini menutup serapatnya peluang untuk membawa usul tidak percaya kepada perdana menteri. Muhyiddin Yassin dalam posisi tidak selesa khususnya berdepan dengan sokongan ahli Parlimen Umno, yang merupakan kelompok majoriti dalam Perikatan Nasional. Umno secara terbuka melahirkan pandangan seolah-olah menjarakkan diri dengan kerajaan tebuk atap yang lebih dikuasai Bersatu itu.
Tetapi dengan tiadanya sesi pertanyaan lisan, pertanyaan bertulis, perbahasan titah diraja, maka peluang amat berharga untuk meneliti langkah-langkah berkesan negara berdepan impak besar koronavirus telah disia-siakan.
Langkah kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi penuh mulai 29 April – tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan – sepatutnya membolehkan Dewan Rakyat bersidang sekurang-kurangnya dua minggu, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Beberapa pindaan perlu dilakukan pada peraturan mesyuarat bagi membolehkan parlimen bersidang lebih lama.
Antaranya, kata PH, ialah mengenai sidang dalam talian dan penetapan jumlah anggota parlimen tanpa menjejaskan korum atau peratusan undian parti masing-masing.
“Masalah rakyat juga perlu perhatian khusus Parlimen, termasuk isu kebajikan, pekerjaan, malah juga semak dan imbang perjalanan kerajaan bagi menjamin ketelusan pengurusan dan kebertanggungjawaban pihak eksekutif,” kata kenyataan bersama tiga ketua parti komponen PH itu.
Semasa pemerintahan singkat PH, banyak juga diusahakan agenda pembaharuan, termasuk ke atas institusi Parlimen. Selepas bertukar kerajaan, kita tidak lagi mendengar ura-ura untuk menambaik baik sistem yang ada.
Langsung tidak berbunyi iltizam perubagan di mana-mana kementerian. Ya, kerajaan ini pun tertegak atas pengkhianatan dan tidak mempunyai manifesto atau komitmen politik untuk dilunaskan.
Pandemik Covid-19 sering dijadikan dalih untuk membantutkan demokrasi tetapi ia tidak pernah menghalang keghairahan melampau penguasa untuk membolot segala peluang, kedudukan, jawatan strategik dan sebagainya.
Percakaran sekutu yang saling syak wasangka sejak hari pertama, semakin serius. Muhyiddin kini diasak Umno dan menimbulkan rasa tidak senang partinya sendiri. Bersatu pula akan melalui proses pemilihan kepimpinan parti, termasuk jawatan presiden.
Perhatian tertumpu ke selatan tanahair, negeri pertama kerajaan PH tumbang sebelum angkara terhadap Putrajaya disempurnakan. Dalam PRU14 lalu, Johor juga merintis jalan berlaku perubahan besar.
Apakah kali ini pembelotan akan ditebus, juga bermula dari sana? Mampukah Muhyiddin, dengan kuasa seorang perdana menteri mengawal anak-anak buahnya sendiri berdepan asakan Umno yang menguasai sumber di Johor?

No comments: