TAK YAH CABAR LAH..KO RASA KUAT SANGAT KO KELUAR LAH.

 



Selepas dilihat sendu dalam isu penghinaan Jalur Gemilang di Terengganu dan tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar daripada Sidang Khas RCI Tabung Haji, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh akhirnya kembali dengan nada keras.






Namun, kemarahannya kali ini bukan ditujukan kepada pihak yang didakwa menghina bendera negara atau wakil rakyat yang meninggalkan perbahasan membabitkan amanah jutaan pendeposit Tabung Haji.


Sebaliknya, Akmal memilih untuk mencabar kerajaan supaya membuang UMNO sekiranya parti itu dianggap sebagai “talam dua muka”.


Beliau berkata, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Abdul Munim perlu menjelaskan pihak yang dimaksudkan menerusi kenyataannya mengenai politik “talam dua muka” dalam Kerajaan Perpaduan.


“Saya nak tanya kepada Kamil, mereka yang kamu kata ‘talam dua muka’ ini siapa? Cakaplah sekarang, UMNO ke, GPS ke, GRS ke?” soalnya.


Menurut Akmal, jika sindiran itu ditujukan kepada UMNO, parti berkenaan bersedia menerima apa juga keputusan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.


“Kalau UMNO ini ‘talam dua muka’, maka buanglah kami daripada kerajaan,” katanya.


Kamil sebelum ini mendakwa Kerajaan Perpaduan sedang diuji pihak yang meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan rakyat dan negara.


Beliau turut mendakwa terdapat pihak yang “berselingkuh secara terbuka” ketika kerajaan sedang berusaha membina semula keyakinan rakyat serta masyarakat antarabangsa.


Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada keputusan BN bekerjasama dengan PN dalam PRN Negeri Sembilan sehingga menamatkan pentadbiran PH.


Bagaimanapun, Akmal menegaskan tidak pernah wujud sebarang perjanjian yang mewajibkan BN dan PH bertanding bersama dalam setiap pilihan raya.


Katanya, PH sendiri pernah bekerjasama dengan GRS dalam PRN Sabah ketika BN memilih haluan berbeza.


Beliau turut mempersoalkan sama ada GPS akan dilabel “talam dua muka” jika bertembung dengan PH dalam PRN Sarawak.


Akmal kemudian meminta Kamil menyampaikan cabaran itu terus kepada Anwar.


“Kita rasa okey saja, tak ada masalah. Kamu pun boleh teruskan kerajaan pada hari ini, silakan,” katanya.


Nada garang Akmal kembali kedengaran selepas beberapa isu besar yang biasanya menjadi medan perjuangan politiknya berlalu tanpa reaksi sekeras itu.


Isu Jalur Gemilang di Terengganu tidak mengundang amaran lantang seperti kebiasaannya.


Tindakan pembangkang keluar daripada sidang RCI Tabung Haji juga tidak mencetuskan kemarahan terbuka beliau, walaupun perkara itu melibatkan amanah dan simpanan umat Islam.


Tetapi apabila Pemuda PKR menyebut “talam dua muka”, Akmal terus bangkit dan mencabar kerajaan membuang UMNO.


Nampaknya suara lantang itu masih ada. Cuma isu yang dipilih untuk dilantangkan berbeza-beza.





No comments: