25 Mac 2026
Selepas 24 jam berlalu setelah Victor Chin mendedahkan terdapat seorang Ahli Parlimen PKR didakwa menerima wang RM9.5 juta daripadanya dengan janji untuk menyelesaikan isu “mafia korporat”, kita belum lagi mendengar suara Anwar Ibrahim memberi respon mengenainya.
Selaku Perdana Menteri dan Ahli Parlimen yang didakwa menerima wang itu datang daripada parti yang dipimpinnya, Anwar sepatutnya menjadi pemimpin terawal memberi respon berkaitan perkara itu.
Ini kerana Anwar bukan saja Perdana Menteri yang selalu bercakap soal reformasi, tetapi juga yang paling lantang bercakap mengenai rasuah, sakau dan tatakelola.
Dengan bersuara awal dalam isu yang menggegarkan seperti ini, barulah ternampak rasa prihatinnya.
Sesuai dengan wataknya itu, Anwar tidak patut menunggu terlalu lama untuk mengeluarkan kenyataannya.
Misalnya, beliau boleh mengeluarkan kenyataan berjanji untuk bertindak tegas terhadap Ahli Parlimen yang didakwa itu serta meyakinkan rakyat tidak akan melindungi sesiapa.
Kepada Victor Chin pula, Anwar boleh menggesanya agar segera melaporkan perkara itu kepada SPRM.
Kalaulah hari ini Anwar masih Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen yang didakwa menerima wang itu datang daripada parti kerajaan, sudah tentu beliaulah orang pertama bersuara mengenainya.
Bahkan akan bergegarlah negara ini dengan suara dan kecamannya kemudian disambut oleh pemimpin PKR yang lain.
Kenapa perkara itu tidak berlaku setelah Anwar bergelar Perdana Menteri?
Bukankah suara Perdana Menteri amat dinanti-nanti ketika ini berbanding suara-suara lain?
Tambahan lagi, kalau ikut cakap dan ceramahnya selama ini, Anwar terlihat begitu pantang dengan perlakuan rasuah dan sakau yang berlaku dalam negara ini.
Janganlah diam saja Pak Sheikh!!
Jika Anwar masih sibuk dengan acara Hari Raya, diharap beliau dapat meluangkan masa seketika selepas ini untuk mengeluarkan kenyataan mengenai dakwaan Victor Chin yang melibatkan Ahli Parlimen PKR itu.
Janganlah kita terpaksa menunggu 24 jam lagi, 24 berikutnya lqgi, lagi 24 jam yang seterusnya dan sehingga makan minggu pula menanti suara merdunya itu.
Tiada suara lain yang dirindui ketika ini selain suara Anwar yang bergelar Perdana Menteri. ShahbudinHusin 25Mac2026.
No comments:
Post a Comment