RAFIZI RAMLI
PRN Sabah telah selesai. Keputusannya jelas. Diagnosis awal sudah ada.
Saya akan hurai dengan lebih mendalam faktor-faktor yang mendorong keputusan itu dalam podcast YBM Jumaat ini 5 Disember.
Salah satu faktor yang penting ialah rasa kecewa pengundi dengan prestasi reformasi dan pembaharuan, terutama dalam membersihkan negara dari rasuah.
Kelebihan utama PH dan PKR sebelum ini ialah harapan rakyat agar sistem negara bebas dari rasuah. Ini kehendak utama pengundi-pengundi PH, yang rata-ratanya dari golongan kelas menengah.
Saya selalu mengingatkan kerajaan dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa data-data kaji selidik sejak 2024 menunjukkan kebimbangan rakyat mengenai prestasi mencegah rasuah kekal menjadi kritikan utama terhadap kerajaan.
Lebih-lebih lagi kerana di sebalik ucapan-ucapan dan berita mengenai usaha mencegah rasuah, perubahan itu tidak dirasakan dengan cepat.
Persepsi ini disahkan oleh statistik kes-kes rasuah yang berakhir dengan hukuman.
Peratusan yang dituduh berbanding kertas siasatan dibuka menurun dari 56% tahun 2020 kepada 39% tahun 2024.
Sabitan bersalah juga menurun, daripada 300 kes bersamaan 36% kertas siasatan berakhir dengan sabitan dalam 2021, berbanding 2024 hanya 256 sabitan, iaitu 22% berjaya disabitkan.
Tambahan pula, ada kes-kes berprofil besar yang berakhir dengan DNAA, atau kes digugurkan, atau tertuduh dilepaskan selepas membayar kompaun.
Minggu ini, soalan saya kepada Perdana Menteri mengenai kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM naik.
Soalan saya mudah:
Adakah YAB Perdana Menteri bercadang untuk menyambung kontrak perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi kali keempat selepas ini, dalam keadaan kritikan mengenai penyambungan kontrak perkhidmatan tersebut turut datang dari Timbalan Presiden parti beliau sendiri?
Jawapan kerajaan kabur, sama seperti surat sokongan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri.
Ini jawapan kerajaan.
Walau apa pun keputusan Perdana Menteri mengenai perkara ini, beliau tidak boleh lari dari hakikat bahawa pandangan rakyat mengenai komitmen beliau melawan rasuah bergantung kepada keputusan beliau menyambung perkhidmatan Tan Sri Azam Baki.
Bukan untuk dua kali. Bukan tiga kali.
Tetapi empat kali.
Jika kontrak itu disambung lagi, keputusan itu akan terus mencemarkan kredibiliti PH dan PKR sebagai parti yang tegas melawan rasuah.
Dengan pelbagai kontroversi yang membabitkan nama beliau, sudah sampai masanya kontrak itu tidak disambung lagi.
Jadi jika orang tanya saya apa yang PH perlu lakukan sebagai reaksi awal kepada kekalahan teruk di Sabah, mulakan dengan membina kembali kredibiliti melawan rasuah.
Mula dengan melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru.
Kalau saya seorang yang mendesak, Perdana Menteri tidak akan dengar.
Lebih baik jika Nurul Izzah juga desak secara terbuka.
Lebih baik lagi jika Anthony Loke dan DAP juga desak secara terbuka.
Barulah kredibiliti lawan rasuah PH dan PKR dapat dibaiki sedikit demi sedikit.
No comments:
Post a Comment