Menjelang PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan yang dilihat agak kritikal bagi DAP untuk mengekalkan kemenangannya, parti itu nampaknya cukup beterus-terang agar UMNO membalas budi yang dicurahkan dalam PRK Pelangai sebelum ini.
Sebagaimana dilaporkan sebuah media, Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming berkata, pihaknya mengharapkan semangat yang ditonjolkan parti itu ketika berkempen bagi memenangkan calon BN daripada UMNO ketika PRK DUN Pelangai di Bentong, Pahang pada Oktober lalu, dapat dibalas ketika PRK DUN Kuala Kubu Bharu akan datang nanti.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, peranan yang dimainkan DAP yang berhempas-pulas ketika kempen PRK Pelangai lalu telah berhasil meraih 98 peratus undi masyarakat Tiong Hua atau Cina di kawasan yang dijaga parti itu walaupun calon BN ketika itu datang daripada UMNO.
“Justeru diharapkan budi dan semangat yang sama dapat ditonjolkan pada PRK Kuala Kubu Baharu nanti iaitu agar BN khususnya UMNO dapat melakukan perkara serupa berikutan calon pada PRK itu nanti daripada DAP.
“Saya mohon budi, sekiranya semangat ini kita sudah ditonjolkan di Pelangai, maka ia dapat ditunjukkan juga di Kuala Kubu Baharu.
“Sebagaimana DAP berkempen habis-habisan untuk UMNO sehingga menang, UMNO juga diharap akan buat yang sama, iaitu buat baik untuk balas budi.
“Kawasan yang kami (DAP) jaga berjaya meraih 98 peratus undi khususnya pengundi kaum Tiong Hua untuk menyokong wakil UMNO yang mana ia tidak pernah berlaku dalam sejarah apabila UMNO (sebelumnya) tak pernah dapat 98 peratus undi Cina.
“Tetapi dengan semangat perpaduan dan kerja keras DAP, kejayaan di Pelangai adalah satu rekod yang boleh dibanggakan dan kita harap ianya juga berlaku di PRK Kuala Kubu Baharu nanti,” kata Nga lagi.
Ehhh…membaca ayat yang diungkapkan Nga ini, ia seperti bukan lagi suatu bentuk pengharapan agar budi DAP di Pelangai dibalas UMNO di Kuala Kubu Baharu, bahkan semacam ada unsur-unsur memaksa agar budi itu dibalas.
Adakah ini menunjukkan DAP ada sedikit kesangsian terhadap bantuan UMNO?
Terdesak sangatkah DAP untuk memperolehi undi Melayu melalui bantuan UMNO di Kuala Kubu Baharu nanti?
Boleh jalankah cara semacam memaksa seperti ini?
Barangkali Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh boleh beri respon sikit kepada apa yang dinyatakan Nga ini? – ShahbudinHusin 22/04/2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/04/22/dap-paksa-umno-balas-budi-dr-akmal-tolong-respon-sikit.html