ISLAM AJAR TAKUT KEPADA ALLAH, PAS SERU TAKUT KEPADA DAP?






 Pas sebagai parti yang memperjuangkan agama Islam diminta untuk bermuhasabah meneliti arah perjuangannya sejak kebelakangan ini yang menyeru orang Melayu-Islam takutkan DAP.

Bagi Setiausaha Gabungan Reformis Malaysia (GRM), Kapten (B) Zulkifli Othman, seruan Pas saban minggu itu amat bertentangan dengan seruan khutbah Jumaat yang menekankan ‘Ittaqullah’, iaitu takut kepada Allah.

Apabila Pas memomokkan Melayu perlu takut kepada DAP, katanya, dikhuatiri hal itu tergelincir daripada perjuangan Islam.

“Kita orang Islam saban minggu diingatkan di mimbar, dipesan Ittaqullah. Namun hari ini pimpinan Pas bawa (politik) takut kepada DAP, bukan takut kepada Allah.

“Kita orang Melayu-Islam yang ada tuhan, yang beriman dengan rukun iman, tetapi sebaliknya kita dimomokkan supaya takut kepada DAP.

“Sedangkan DAP itu manusia yang dicipta oleh tuhan (tidak layak ditakuti). Ini merosakkan keimanan kita,” katanya.

Zulkifli yang juga reformis sejak 1998 berkata, orang Melayu seharusnya insaf dan jangan membiarkan puak tertentu merosakkan keyakinan mereka hanya kerana mahu merebut kuasa politik.

Katanya, tidak wajar berlaku ‘syirik kecil’ takutkan DAP sedangkan pada suatu ketika dahulu Pas pernah bersama DAP dalam Pakatan Rakyat dan dianggap parti sahabat.

Zulkifli juga berkata, tidak mungkin DAP boleh mencalonkan Perdana Menteri bukan Melayu kerana Yang di-Pertuan Agong tidak akan memberi perkenan terhadap perkara berkenaan.

Tegas beliau, situasi politik di Malaysia tidak akan sama seperti di Amerika Syarikat (AS) atau United Kingdom (UK) yang telah melantik ketua kerajaan bukan lagi dari kalangan kulit putih.

“Situasi politik kita tak sama dengan AS, UK. Selepas 200 tahun (tamadun AS) naik orang kulit hitam jadi Presiden, di UK naik pemimpin berketurunan India jadi PM. Di Malaysia kita punya adab yang berbeza.

“Saya amat yakin bani Melayu akan terus memimpin negara. Peranan Raja raja Melayu kita tidak boleh nafikan,” katanya lagi.

Justeru, Zulkifli menyeru agar orang Melayu kembali berfikiran rasional dan mengutamakan fakta menghadapi tohmahan dan serangan laskar siber pembangkang.

Politik pembangkang yang mendahulukan emosi, katanya, perlu ditolak ke tepi atau dibuang jauh jauh.



No comments: